ISLAMOFOBIA adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka buruk dan diskriminasi terhadap Islam, penganutnya dan organisasi Muslim, khususnya yang berjuang untuk menegakkan semula politik Islam.

Istilah ini menjadi popular selepas serangan 11 September 2001, sehingga mentakrifkan Islamofobia sebagai rasa takut dan benci terhadap Islam, lalu membawa kepada permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenarnya terkandung dalam sumber yang sebenar, iaitu Al-Quran, As-Sunnah, dan ijtihad kalangan ulama’ muktabar yang diyakini ilmu dan kefahamannya serta melaksanakan Islam yang sebenarnya bersifat keadilan sejagat.

Islamofobia kini bersifat ideologi sesat terhadap Islam, sehinggalah mencetuskan kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan politik, ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Islamofobia juga termasuk persepsi yang dipengaruhi oleh media Barat yang tidak adil kepada Islam dengan mencetuskan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai Barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas sehingga Islam tidak lagi dikenali sebagai satu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam..

Media yang dikuasai oleh politik musuh Islam digunakan habis-habisan untuk menyebarkan fahaman yang salah terhadap hakikat yang sebenarnya terkandung dalam ajaran Islam dan sejarah keemasannya yang mencipta tamadun dunia yang diciplak sebahagiannya oleh tamadun moden Barat kini tetapi berkonsepkan sekularisme Kristian yang tidak sama dengan Islam sebagai Ad-Din.

Banyak pengaruh Islam yang positif dalam tamadun Barat, antaranya demokrasi purba berubah kepada demokrasi moden. Sebelum itu, negara Barat seringkali mengubah kerajaan dengan peperangan sesama sendiri kerana pendekatan revolusinya yang mengganas. Bandingkan betapa banyak mangsa korban perubahan kerajaan di negara Barat sebelum mengubah kepada demokrasi dengan jumlah yang sangat kecil dalam kemenangan Islam ketika Fathu Makkah, bahkan ramai yang diberi pengampunan. Selain itu, pengaruh Islam juga meresap masuk dalam aspek ekonomi, sehinggalah kemajuan sains dan teknologi.

Kitab suci Al-Quran yang ditafsirkan oleh hadis Rasulullah S.A.W. mendahulukan konsep damai dalam hubungan dengan semua pihak, adil terhadap semua dan rahmat kepada seluruh alam.

Termasuk juga undang-undang syariatnya yang paling keras terhadap kejahatan dan kesalahan jenayah yang berat, dan wajibnya sehingga berperang terhadap penceroboh yang melampau kezalimannya, tetapi Islam menegah tindakan melampaui batas kemanusiaan.

Firman Allah:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190)

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah (Islam) akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”. (Surah Al-Baqarah: 190)

Tegasnya Islam mengharamkan amalan melampau walaupun terhadap musuh yang menceroboh negara Islam dan umatnya. Bandingkan pula dengan teknologi Barat yang dikatakan bertamadun terkini mencipta senjata pemusnah yang diharamkan oleh Islam dengan dianggap dosa yang dihukum di Hari Akhirat, dan undang-undang antarabangsa yang tiada balasan Akhirat, maka dikecualikan negara besar boleh melakukan jenayah perang.

Merekalah yang melaksanakan ideologi imperialisme yang membakar hangus negara yang dijajahnya dan memperhambakan rakyat yang tidak terbunuh di mana sahaja apabila mereka menang dalam peperangan yang sangat ganas. Kini campur tangan mereka terhadap negara yang lemah itu memakan korban rakyat yang lebih besar berkali ganda daripada kematian bala tentera mereka yang menceroboh.

Mereka juga menaja Taliban di Afghanistan dengan membekalkan senjata melalui negara-negara Arab yang ditubuhkan dahulu berkiblat kepada Barat. Perkataan Taliban itu dalam bahasa Pashto bermakna pelajar-pelajar agama yang masih mentah kefahamannya berkenaan Islam yang digunakan untuk menghalang kumpulan mujahidin yang terpelajar memerintah negara setelah berjaya mengalahkan tentera Soviet dahulu. Tindakan dilakukan kerana takutkan pengaruh Islam yang sebenarnya kembali semula ke persada dunia yang dibimbangkan kalahnya pengaruh Barat yang sedang merudum.

Mereka juga dalang di sebalik penubuhan ISIS yang digunakan untuk mencetuskan perang saudara di beberapa negara Arab sekarang, demi memusnahkan umat Islam dari dalam dan berniaga senjata serta mengujinya dengan menjadikan umat Islam laksana tikus untuk dilakukan ujian, menggunakan umat Islam sendiri dan mengambil harta kekayaan bumi umat Islam secara halus dan licik.

Semua negara umat Islam yang memenangkan kumpulan Islam secara demokrasi yang matang dihalang dan dijatuhkan, seperti pernah membatalkan kemenangan Parti Masyumi di Indonesia dahulu, kemenangan kumpulan Islam di Algeria dan kemenangan Parti Islam di Mesir.

Begitu juga kemenangan Revolusi Islam di Iran dihinakan dengan mengapikan kebencian kerana perbezaan mazhab, lalu dicetuskan Perang Teluk yang bersiri. Mereka juga berusaha melakukan rampasan kuasa di Turki untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Parti AK kerana perubahan sekular kepada Islam secara berperingkat. Semua itu adalah langkah menentang Islam yang ditaja oleh mereka yang mencetuskan ideologi Islamofobia.

Malaysia juga hendak dimangsakan kerana anti Israel, maka dikempenkan terhadap minyak sawit yang menjadi sumber ekonomi negara ini.

Kumpulan anti Islam ditubuhkan di Malaysia, sama ada secara agenda tersembunyi melalui NGO yang menggunakan jenama Islam secara tiruan dan menyokong LGBT yang tidak bermoral luhur di atas nama kebebasan kebinatangan bukannya kemanusiaan, atau parti-parti politik yang tidak boleh menyembunyikan permusuhannya terhadap Islam sehingga menentang segala usaha menyatukan umat Islam dengan dilabelkan seperti wajah Taliban.

Lebih teruk lagi apabila jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap penganut Islam yang menunaikan solat Jumaat di New Zealand dijadikan hujah bagi memburukkan kesatuan umat Islam, walaupun ternyata pembunuhnya bukan Islam, tiba-tiba dikaitkan dengan salahnya langkah berbaik dalam kalangan parti umat Islam, kemudian dikatakan terlajak cakap. Pepatah Melayu menyebut terlajak perahu boleh berundur, terlajak cakap berundurnya tidak menjadi seperti terlajak perahu atau kereta.

Al-Quran telah memberitahu sejak empat belas abad yang lalu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ (118) هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (119) إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (120)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu berakal bijak (mahu memahaminya). (118) Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (119); Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”. (120) (Surah Ali ‘Imraan: 118-120)

Maka ternyata benarnya Al-Quran mendedahkan adanya kumpulan yang mahu bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, sama ada yang nyata kafir harbinya atau munafik bersekongkol bersamanya. Namun, masih ramai yang bersimpati terhadap Islam dan ada yang insaf setelah mengkaji.

Kini Islamofobia gagal menembusi Islam, sebaliknya senjata ini memakan tuan apabila ternyata yang ganas itu bukan Islam. Ada yang bertindak mendedahkan ideologinya yang disembunyikan, ada juga kalangan mereka mengkaji Islam melalui terjemahan Al-Quran dan buku-buku Islam, lalu meninggalkan agamanya kerana masuk Islam. Termasuklah juga orang-orang Islam yang menjadi mangsa peperangan yang dicetuskan di negara umat Islam terpaksa berhijrah menjadi pelarian di negara-negara Barat yang mencipta ideologi tersebut, tiba-tiba menjadi sebab berkembangnya Islam dalam kalangan bukan Islam yang insaf menyaksikan kezaliman terhadap Islam dan penganutnya.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rejab 1440 / 18 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 18/3/2019

FIRMAN Allah S.W.T.:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190(

“Dan berjihadlah kerana agama Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau (menceroboh); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau” (Surah Al-Baqarah: 190)

1. PAS berkongsi rasa simpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini, yang turut mengorbankan nyawa saudara kita yang tidak berdosa.

2. PAS menyifatkan insiden ini sebagai suatu tindakan terkutuk yang melampaui batas kemanusian dan tidak boleh diterima oleh masyarakat dunia keseluruhannya.

3. PAS menegaskan bahawa budaya toleransi antara agama adalah sangat penting bagi mewujudkan keamanan sejagat, manakala budaya prasangka dan prejudis seperti fahaman ‘Islamofobia’ perlu ditangani semua pihak.

4. PAS dengan ini mengecam ‘tragedi kemanusiaan’ yang berlaku ini dan mengharapkan penjenayah yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera.

5. Semoga Allah merahmati roh saudara-saudara kita di Christchurch, New Zealand.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Rejab 1440 / 15 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 15/3/2019

PERKATAAN kaum atau bangsa bermakna kumpulan makhluk manusia mengikut zuriat, bahasa, warna, budaya dan lain-lain. Apabila diletakkan penambahannya disebut perkauman, berbeza maknanya, kerana bermaksud kefahaman yang dianut berteraskan fanatik kepada satu bangsa atau kaum tertentu, sehingga merosakkan hubungan masyarakat majmuk berbagai bangsa dan kaum yang menjadi sebahagian daripada ciptaan Allah Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Perkataan kaum itu baik kerana hikmah yang ditetapkan oleh Allah Pencipta Alam Semesta, walaupun berbilang dan berbeza, di mana manusia menjadi sebahagian daripada alam mengikut sempadan ketetapan Allah yang Maha Adil dan Bijaksana.

Perkataan perkauman itu bermaksud negatif kerana membawa dasar dan konsep yang merosakkan hubungan kemanusiaan apabila melampaui sempadan ketetapan Allah, ketika manusia itu mencipta ketetapan sendiri dengan akalnya yang lemah tanpa keizinan Allah.

Berlakunya kerosakan kehidupan manusia ini kerana manusia sendiri melanggar sempadan Allah Pencipta Alam Semesta, khususnya apabila melampaui sempadan hikmah mereka diciptakan. Antaranya, mencipta ideologi fanatik terhadap kaum dan bangsa tertentu tanpa meraikan kaum lain. Inilah sebahagian daripada ciri perkauman.

Firman Allah menegaskan bahawa adanya bangsa, kaum, bahasa dan pelbagai budaya serta warna itu sebahagian daripada ciptaan-Nya yang menjadi tanda sifat ketuhanan-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ (22)

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah Ar-Ruum: 22)

Seterusnya firman Allah menyatakan hikmah penciptaan manusia sebegitu rupa:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak dan kaum, supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan, beramah mesra dan bertolong menolong antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan, bangsa, warna kulit, hartanya dan lain-lain). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”. (Surah Al-Hujuraat: 13)

Wujudnya kepelbagaian tersebut bagi menyempurnakan ciri-ciri masyarakat madani yang membolehkan manusia itu bertugas di bumi yang disebut sebagai khalifah iaitu mengurus cara hidup manusia di dunia dengan Islam atau dipilihnya sendiri cara lain, dan mentadbir makhluk di bumi termasuk bahan-bahan yang diciptakan di atas muka bumi atau di dalam perut bumi daripada hasil pertanian, galian dan hidupan.

Banyak bahan-bahan itu diusahakan untuk mendapat dan mengambil manfaat daripadanya, sehinggalah hubungannya dengan angkasa lepas dan alam ghaib yang tiada sepenuhnya dalam agama dan ideologi lain daripada Islam ciptaan manusia sendiri.

Bagi melaksanakan urusan kesemuanya itu memerlukan pembahagian tenaga kerja, kebolehan, kemahiran dan kemampuan yang berbeza dalam kalangan mereka mengikut individu, keluarga, kaum dan bangsa, serta hasil bumi yang berbeza jenisnya daripada seluruh pelosok bumi ini.

Ibnu Khaldun menghuraikan ciri-ciri kepelbagaian dalam masyarakat manusia bernalurikan madani atau bersifat hadari. Contohnya, hanya kerana perlu adanya sehelai pakaian sahaja bagi seorang manusia, maka perlu adanya pelbagai pekerjaan dan kemahiran yang berbeza daripada hasil negeri yang berbeza.

Mereka yang berkemahiran dalam bidang pertanian ditugaskan untuk menghasilkan kapas untuk membuat sehelai pakaian manusia. Perlu adanya juga pelbagai galian seperti logam besi untuk mencipta alat pertanian, jarum yang kecil untuk menjahit pakaian dan terkini dicipta kilang yang besar memerlukan bahan bakar seperti petroleum minyak dan gas bagi mesin penggerak untuk menenun dan menjahit serta bahan-bahan lain yang diluaskan lapangan kepakarannya daripada pelbagai negeri dan lapisan rakyat.

Adanya industri dan pengurusan perniagaan dalam aspek ekonomi dan lain-lain, yang dikawal oleh politik kekuasaan dan pentadbiran. Adanya juga kebolehan dan kemampuan berbeza dalam kalangan satu bangsa sahaja dan pelbagai bangsa yang kedudukannya dalam wilayah dan muka bumi cuaca yang berbeza.

Firman Allah:

أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ (32)

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian atau keagamaan, kebolehan jasad dan kefahaman akal yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (sebahagiannya Kami jadikan kaya raya dan sebahagiannya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat sebahagian dari mereka tertinggi dari darjat sesebahagian yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) sebahagiannya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan”. (Surah Az-Zukhruf: 32)

Perbezaan bangsa, kaum, kemampuan dan kepakaran, mencetuskan pertembungan yang melampau terhadap pihak lain sehingga menindas, menipu, menzalimi dan menyeleweng kerana melanggar sempadan ketetapan Allah.

Bukan sahaja di antara individu yang bijak menipu yang lemah akalnya, apatah lagi yang bodoh paling menjadi mangsa. Yang kuat pula menindas yang lemah, yang kaya terhadap yang miskin. Berlaku juga dalam satu keluarga yang kecil, sehinggalah merebak di kalangan satu kaum dan di antara bangsa, kaum dan negara, sehinggalah ke peringkat antarabangsa dan kaum yang berbeza. Ini disebabkan ada kalangan yang melampaui batas sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Tidak menjadi kesalahan sesiapa sahaja sayang dan kasihkan keluarga dalam kelompok yang kecil, sehinggalah berkeluarga besar, satu bangsa atau kaum. Maka sayangkan bangsanya tidak menjadi kesalahan, bahkan wajib bersilaturahim. Tetapi jangan lupa bahawa seluruh manusia itu juga adalah keluarga besar di bawah kerajaan Allah.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا (1)

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya, zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturrahim (kaum kerabat); kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”. (Surah An-Nisa’: 1)

Berlakunya kelemahan dalam hubungan sesama manusia apabila kasihnya melampau menjadi fanatik, sehingga menyebabkan putus hubungan silaturahim dalam satu keluarga kecil, apatah lagi kalau sebesar satu bangsa atau kaum dan lebih besar lagi dalam kalangan antarabangsa, sehingga mencetuskan penyakit yang dinamakan perkauman atau asabiyah dalam bahasa Al-Quran atau rasisme dalam bahasa Barat yang mempengaruhi dunia terkini.

Rasisme disebut juga nasionalisme dan cauvinisme merupakan satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang fanatik berdasarkan ciri-ciri perkaumannya, sehingga menegaskan bahawa nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya. Fahaman rasisme atau semangat asabiyah sentiasa membawa kezaliman kepada sesama manusia dan melibatkan permusuhan terhadap kaum-kaum yang tertentu.

Dalam negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini, masyarakat Melayu yang beragama Islam masih lagi mewarisi adab kemanusiaan bermasyarakat majmuk yang ditunjukkan oleh Islam yang dianutnya.

Mereka bukan sahaja menganggap masyarakat orang Asal yang ditakrifkan Bumiputera bersamanya lebih dahulu, bahkan dengan mudah juga menerima kewujudan pelbagai kaum dalam negaranya, perkara yang tidak mudah di sisi kaum bukan Islam, bukan sahaja dalam satu agama yang berlainan, bangsa dan kaum yang berbeza, bahkan di antara agama yang berbeza dan sempadan negeri yang berlainan.

Islam mendidik penganutnya bahawa tidak menjadi kesalahan sayangkan keluarga dan bangsa, tetapi jangan berlaku zalim terhadap sesama manusia kerana berbeza bangsa dan agama, dan jangan fanatik tanpa perhitungan benar dan salah. Dasarnya berpandukan Al-Quran. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Maa’idah: 8)

Sabda Rasulullah S.A.W.:

ليس منا من دعا إلى عصبية وليس منا من قاتل على عصبية وليس منا من مات على عصبية

“Bukan daripada kalangan kita orang yang berdakwah kepada asabiyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang kerana asabiyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati dengan sebab asabiyah”.

Apabila ditanya : “Apakah asabiyah itu wahai Rasulullah?‘’.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

أن تعين قومك على الظلم

“Bahawa kamu menolong kaummu melakukan kezaliman”. (Riwayat Abu Daud)

Inilah sempadan Islam yang dianuti oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam. Sepatutnya kaum lain mengenang budi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang melayan mereka di atas sifat kemanusiaan sejagat yang diasuh oleh Islam.

Perlu disedari bahawa Melayu dan Peribumi yang telah memakmurkan tanah air ini sebelum kedatangan penjajah Barat dan kehadiran kaum lain. Umat Islam Melayu dan Bumiputera lain terpaksa menentang penjajah sejak tahun 1511 yang silih berganti sehinggalah negara mencapai kemerdekaan, dan diterimanya kaum lain yang dibawa oleh penjajah mengikut agenda jus soli.

Tiba-tiba berlaku orang Melayu dan Bumiputera ketinggalan dan terpinggir daripada pendidikan dan ekonomi sehingga dibodohkan berpolitik dan berpecah sesama mereka. Adapun kaum lain lebih diberikan peluang sehingga dapat menguasai kawasan bandar yang besar, pendidikan, ekonomi dan bersatu dalam politiknya.

Apa yang dialami oleh Melayu Islam dan Bumiputera kerana mereka dibelasah oleh penjajah kerana melawan penjajah itu, lalu mereka dipinggirkan daripada kemudahan dan pembangunan. Berbeza dengan kaum yang dibawa untuk menjadi pekerja kepada penjajah.

Setelah mencapai kemerdekaan, maka orang Melayu Islam dan Bumiputera diberi hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dari segi agama, bahasa, ekonomi dan lain-lain. Dalam masa yang sama, diberi hak kerakyatan kepada kaum lain dan hak kemanusiaan yang sepatutnya dari segi kebebasan beragama, berbudaya dan lain-lain.

Malangnya orang Melayu Islam masih terkebelakang kemampuannya, bersaing pula dengan kaum lain dan tidak dapat mengejar kaum lain dengan sebab-sebab yang tertentu, maka mereka perlu terus diperkasakan.

Adalah tidak beradab atau berakhlak, apabila adanya kenyataan di kalangan bukan Islam mempertikaikan hak istimewa Islam, Melayu dan Peribumi. Paling tidak berakhlak apabila mengeluarkan kenyataan yang biadab terhadap Islam dan usaha menyatukan umat Islam dan Bumiputera, dengan cara melampau sehingga perpaduan orang Melayu Islam dan Bumiputera ini dianggap sebagai musuh yang ditentang kerana menjadi ancaman kepada kaum lain.

Ketahuilah bahawa kesabaran umat Islam ada sempadannya, maka jangan dicerobohi sempadan ini, kerana Allah berfirman:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (Islam), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (Islam), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.(9) (Surah Al-Mumtahanah: 8-9)

Hari ini dapat dilihat dengan nyata betapa kekayaan kaum yang mendapat peluang itu, membuat kenyataan yang mencabul Islam dan melakukan agenda membeli orang-orang Melayu yang berkuasa dengan rasuah dan salah laku, sehingga orang-orang Islam Melayu yang berada di bandar dihalau secara halus di atas nama pembangunan bandar, bahkan dirancang lagi untuk menguasai bandar-bandar besar yang dapat disaksikan, dibaca dan didengar dengan nyata.

Tegasnya tidak menjadi salah sikap sayang kepada bangsa masing-masing, tetapi janganlah kasih sayang itu dijadikan ideologi dan akidah terbuka untuk memusuhi Islam dan marahkan perpaduan umatnya.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Rejab 1440 / 15 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 15/3/2019

FIRMAN Allah:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103) وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (105)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah); dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk (hidayahNya). (103); Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (Islam yang sempurna), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (104); Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. (105) (Surah ‘Aali ‘Imraan: 103-105)

Sebab turunnya ayat-ayat ini bersempena dengan ancaman terhadap kesatuan umat Islam pada zaman Rasulullah S.A.W., yang terdiri daripada kumpulan Muhajirin (pendatang yang beriman dan berhijrah ke Madinah) dan golongan Ansar (penduduk asal Madinah yang beriman) terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Mereka bersatu bersama Islam sehingga berkuasa dalam masyarakat majmuk yang ada juga bukan Islam daripada kabilah-kabilah Yahudi dan Musyrikin Arab serta kalangan munafiqin, di samping selepasnya datang pula kaum Najran yang menganut Kristian.

Kesatuan umat Islam dan perpecahan kalangan bukan Islam menjadikan Islam memimpin negara yang berdaulat berdasarkan akidah Islam dan konsep hukumnya yang adil terhadap semua. Kejayaan umat Islam yang bersatu menyebabkan kedengkian orang-orang Yahudi terhadap mereka, lalu dirancangnya supaya umat Islam berpecah, khususnya dalam kalangan Aus dan Khazraj yang pernah berperang pada zaman jahiliah.

Perancangan jahat Yahudi yang diatur dengan meniupkan semangat kabilah pada zaman jahiliah yang berbangga dengan pahlawan masing-masing, sehingga hampir mencetuskan semula peperangan, lalu Allah mewahyukan ayat-ayat tersebut dan Rasulullah S.A.W. datang membaca ayat-ayat tersebut dan bersabda: “Adakah kamu mahu kembali semula kepada jahiliah setelah kurnia Allah bersama Islam ketika aku masih berada di kalangan kamu?’’.

Iman yang ada dalam diri mereka mendatangkan keinsafan dan kesedaran semula, sehingga mereka menangis kesesalan dan berpeluk bermaaf-maafan. Inilah semangat yang digerakkan oleh iman yang masih ada dalam diri mereka. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat: 10)

Al-Quran adalah mukjizat petunjuk kepada mereka yang beriman sepanjang zaman. Maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjadikannya petunjuk dan panduan tertinggi, bersama Sunnah Rasulullah S.A.W. yang mentafsirkan, serta tafsir para ulama’ muktabar, semuanya ditegaskan dalam Perlembagaan PAS dengan mentafsirkannya pula dalam situasi dan realiti terkini di negara tercinta ini.
PAS tetap mengambil kira terlebih dahulu bangsa Melayu yang ditafsirkan tidak berpisah bersama Islam walaupun kalangan sejahil-jahilnya, sehingga diucapkan Melayu itu tetap Islamnya walaupun mengata dan bertindak di luar batas iman kerana kejahilannya, namun tetap mempunyai kemanisan iman yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W.:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ، وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ؛ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ، أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ. (رواه مسلم)

“Tiga perkara, sesiapa yang masih ada dalam dirinya (perkara-perkara ini) menandakan masih ada kemanisan iman dalam dirinya, iaitu: Sesiapa yang kasihkan Allah dan Rasul lebih daripada yang lain, dia tidak kasih kepada seseorang melainkan kerana Allah (Islam) dan dia bencikan kekufuran laksana tidak mahunya ke neraka (marah kalau dikatakan kafir)”. (Riwayat Muslim)

Maka PAS mengambil kira parti Islam dan Melayu iaitu Umno, Bersatu (walaupun dalam kerajaan) dan NGO Islam, tetap bersama PAS walaupun berbeza pendekatan.

PAS menolak parti-parti yang bermusuh terhadap Islam atau tidak berasaskan Islam dan Melayu serta tidak bermaruah sehingga pemimpinnya menagih pengampunan, seperti PKR (pelbagai kaum dan berideologi sekular pragmatik) dan PAN (yang bernyawakan pihak lawan sehingga tidak berani bersuara Islam) tanpa mengira individu yang pelbagai warna dan fahaman di dalamnya.

PAS adalah parti Islam dan Melayu tidak lupa terhadap kawan dan lawan, tetap mengambil kira terhadap bukan Islam yang selamat bersama Jus Soli. PAS mengenali mereka yang mengenang budi diterima menjadi rakyat yang diberi hak beragama, berbangsa, berbahasa dan berbudaya. PAS juga mengenali kalangan mereka yang tidak mengenang budi sehingga mengasak Islam dan Melayu secara terbuka dan bersembunyi.

Maka setiap keadaan yang mencabar kedaulatan Islam dan Melayu tetap diperjuangkan oleh PAS bersama parti Islam dan Melayu, tanpa menzalimi kaum lain yang tidak seagama dan sebangsa yang tetap menjadi saudara kemanusiaan sejagat, kerana menjadi konsep Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Inilah risalah nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W. yang diimani oleh penganut Islam bahawa manusia adalah satu umat dalam keluarga yang besar, bermasyarakat Madani yang dinamakan umat dakwah sama ada Islam atau bukan Islam, dan umat ijabah yang telah menganut Islam yang diwajibkan memimpin berkonsepkan adil terhadap semua dan memelihara hak asasi manusia walaupun berbeza agamanya. Ini berpandukan firman Allah:

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ (40) الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ (41)

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (40); Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. (41) (Surah Al-Hajj: 40-41)

Hanya Islam yang bersejarah apabila berkuasa mampu menangani masyarakat majmuk dalam negara berkonsepkan Rabbani, ekonomi yang adil terhadap masyarakat, kedaulatan syariat dan berwawasan Akhirat.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Jamadil Akhir 1440 / 7 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 7/3/2019

KASHMIR adalah satu wilayah di Barat Laut Benua India. Sehingga pertengahan abad ke-19, istilah Kashmir merujuk kepada kawasan lembah di banjaran Himalaya Besar.

Hari ini Kashmir mencetuskan pertikaian yang ditadbir oleh tiga negara iaitu; India menguasai Jammu dan Kashmir (Lembah Kashmir, Jammu dan Ladakh), Pakistan mentadbir Gilgit-Baltistan dan wilayah Azad Kashmir, dan China menguasai di Aksai Chin dan kawasan Trans-Karakoram. Maka Kashmir mengundang krisis tiga penjuru tersebut.

Pada alaf pertama, wilayah Kashmir penting bagi agama Hindu dan kemudiannya Buddha hingga ke beberapa abad. Pada tahun 1349, Shah Mir menjadi pemerintah Islam yang pertama di Kashmir dengan nama Salatin-i-Kashmir atau Dinasti Swati. Raja-raja Islam memerintah Kashmir, termasuk Mughal yang memerintah dari tahun 1526 hingga 1751. Kemudian Empayar Durrani Afghanistan memerintah dari tahun 1747 hingga 1820.

Selepas itu, Sikh di bawah Ranjit Singh menguasai Kashmir. Pada tahun 1846, di bawah Perjanjian Amritsar, Dogras di bawah Gulab Singh menjadi pemerintah baharu yang dikuasai oleh British sehingga 1947.

Konflik Kashmir 1947-1948

Penduduknya adalah 77 peratus Muslim dan berkongsi sempadan dengan Pakistan. Apabila Benua India diberi kemerdekaan oleh penjajah British yang membahagikan Pakistan kepada Islam dan India kepada Hindu, Maharaja merayu kepada Lord Mountbatten untuk mendapatkan bantuan. Gabenor Jeneral British bersetuju dengan syarat bahawa pemerintah menyertai India, maka berlakulah pertembungan dengan rakyat majoriti Muslim.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudiannya dijemput menyelesaikan pertikaian. Misi PBB menegaskan bahawa pendapat rakyat Kashmir mesti diambil kira. Manakala India menegaskan bahawa referendum tidak boleh dijalankan sehingga semua negeri dibersihkan, kemuncaknya mencetuskan peperangan di antara Pakistan dan India.

Pada hari-hari terakhir tahun 1948, gencatan senjata telah dipersetujui di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Namun pungutan suara yang dituntut oleh PBB tidak pernah dijalankan. Hubungan antara India dan Pakistan tetap memburuk dan pernah membawa kepada tiga peperangan kerana Kashmir pada tahun 1947, 1965 dan 1999. India mengawal Jammu dan Kashmir, manakala Pakistan menguasai satu pertiga daripada rantau iaitu kawasan Utara dinamakan Azad Kashmir.

Rantau Timur Kashmir juga terlibat dalam pertikaian sempadan. Abad ke-20, perjanjian sempadan ditandatangani antara Great Britain, Afghanistan dan Rusia ke atas sempadan utara Kashmir tetapi China tidak pernah merestui perjanjian ini. Kedudukan rasmi China tidak berubah dengan Komunis mengambil alih pada tahun 1949. Menjelang pertengahan tahun 1950-an, tentera China telah memasuki bahagian Utara-Timur Ladakh. Pada 1956-1957, China menyiapkan jalan tentera melalui kawasan Chin Aksai ke Xinjiang dan Barat Tibet. Pertempuran sempadan antara China dengan India berakhir pada Oktober 1962.

Rantau ini dibahagikan kepada tiga negara. Pakistan menguasai Azad Kashmir, India mengawal Jammu dan Kashmir dan Ladakh, dan China menguasai bahagian Timur Laut (Aksai Chin dan Trans-Karakoram).

India menguasai majoriti Glasier Siachen termasuk kawasan Ridge Saltoro Pas, manakala Pakistan sebahagian Barat Daya Ridge Saltoro. India mengawal 101.338 km persegi (39.127 batu persegi) wilayah yang dipertikaikan, Pakistan 85.846 km persegi (33.145 batu persegi) dan China, baki 37.555 km persegi (14.500 batu persegi).

Perang Indo-Pakistan tahun 1947, Pakistan menguasai satu pertiga Kashmir dan India satu setengah, dengan garis pemisah dikawal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ). Perang Indo-Pakistan tahun 1965 menemui jalan buntu dan gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dirundingkan.

Sepatutnya keputusan PBB supaya diadakan pungutan suara secara demokratik dilaksanakan bagi menangani krisis yang berpanjangan ini. Malangnya dunia yang dikatakan moden ini sentiasa tidak berpihak kepada umat Islam di mana-mana sahaja, menjadikan umat Islam terus dijadikan mangsa kezaliman yang tidak dibela oleh masyarakat antarabangsa seperti juga di Palestin, Rohingya, Uyghur dan lain-lain.

Kita mengharapkan kerjasama Pertubuhan Negara Umat Islam (OIC) berfungsi bagi membela nasib umat Islam di tengah masyarakat antarabangsa secara adil dan menghormati konsep hak asasi manusia yang meninggalkan era kolonialisme. Namun umat Islam menjadi laksana sampah sarap dan buih yang tidak bermaya dihanyutkan arus diskriminasi yang terus menerus.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Jamadil Akhir 1440 / 5 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 5/3/2019

MELIHAT kepada serangan yang ditujukan kepada PAS dari segenap penjuru dan silih berganti, dengan ini saya menyeru kepada pimpinan, ahli dan penyokong PAS untuk berMUNAJAT dan mengadu kepada Allah Yang Maha Kuasa dengan menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amal kebajikan kepada semua pihak serta bertawassul memohon kepada Allah supaya memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat.

Kita beriman dan percaya kepada Sabda Nabi Muhammad S.A.W. bahawa doa orang-orang yang dizalimi tidak ada hijab dan dimaqbulkan oleh Allah S.W.T.

Kita memohon pertolongan kepada Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Tinggi mengatasi segala kerajaan di dunia ini.

Yakinlah perjuangan Islam itu benar dan ikhlaskan niat kerana Allah.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Jamadilakhir 1440 / 1 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 1/3/2019

Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan
Dan Dewan-Dewan (1440H/2019M)

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام، وفضلنا على كثير من الأمم
والصلاة والسلام على سيدنا محمد، وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات

PERTAMANYA, marilah kita mensyukuri nikmat Allah S.W.T. dan menghayati firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia, mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya” (Al-Maidah: 54)

Seterusnya saya berpesan kepada diri saya, dan sekalian pimpinan serta ahli-ahli PAS untuk terus beristiqamah dalam menghadapi cabaran semasa, dengan melaksanakan taklifan penting berikut:

1. Meningkatkan keyakinan dan kebergantungan ke hadrat Allah S.W.T.;

2. Meningkatkan ilmu, kefahaman dan tarbiah bagi memelihara jatidiri sebagai ahli Jemaah Islam;

3. Merapatkan ukhuwwah dan saf perjuangan, serta menjaga wala’ dan adab ikhtilaf dalam Jemaah;

4. Merapatkan hubungan baik dengan masyarakat, anak muda, wanita, tokoh berpengaruh, NGO dan kumpulan Islam;

5. Merapatkan hubungan baik dengan rakan-rakan bukan-Islam yang bermasyarakat madani, khususnya di kalangan tokoh dan NGO berpengaruh;

6. Mendahulukan damai dan persaudaraan dalam berpolitik (BPMS), serta mengelakkan pertembungan dan krisis dalam masyarakat;

7. Meyakini bahawa masa depan adalah untuk Islam.

Selamat bermesyuarat, moga beroleh kebaikan dan keberkatan di sisi Allah S.W.T.

Siiru ‘ala barakatillah. Allahu Akbar!

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS - HARAKAHDAILY 1/3/2019

PAS menzahirkan kebimbangan terhadap konflik yang tercetus di antara India dan Pakistan dalam tempoh beberapa hari ini yang turut memberi kesan kepada keselamatan dan keamanan di rantau Asia Pasifik serta campur tangan asing.

Bagi menghentikan pertikaian dan persaingan daripada terus berlarutan, PAS menggesa India dan Pakistan untuk segera duduk di meja rundingan, seterusnya mencari jalan penyelesaian secara damai tanpa perlu melibatkan tindakan ketenteraan.

PAS yakin konflik di antara dua negara yang berjiran ini dapat diselesaikan secara diplomasi dan perdamaian, demi kebaikan kedua-dua negara serta rantau Asia Pasifik keseluruhannya.

PAS juga menyarankan agar para ulama’ dan cendekiawan Islam di India dan Pakistan untuk menjadi watak pendamai bagi mengelak konflik ini daripada terus berlarutan melalui pendekatan diplomasi dan berdialog secara matang.

Di samping itu, PAS turut menyarankan agar Malaysia mengambil peranan yang aktif bagi meredakan ketegangan di antara dua negara berjiran ini yang bermasyarakat majmuk dan beragama Islam, melalui hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan ASEAN bersama India dan Pakistan.

Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 23 Jamadilakhir 1440 / 28 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 28/2/2019

BANYAK pihak memperkatakan konsep integriti mengikut kefahaman dan ajaran yang dianutnya. Islam adalah petunjuk Allah yang merangkumi fitrah manusia, jasad, akal dan roh. Maka Islam dibahagikan kepada akidah, syariat dan akhlak mengikut soalan malaikat Jibril kepada Rasulullah S.A.W. iaitu apakah Islam, iman dan ihsan?.

Al-Quran yang menjadi petunjuk bermukjizat menegaskan bahawa semuanya wajib berdasarkan dan berteraskan iman, di mana kesempurnaannya memenuhi segala aspek diri manusia, namun iman itu tetap menjadi syarat diterima oleh Allah.

Firman Allah:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (103); (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.(104) Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak. (105); (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan”. (106) (Surah Al-Kahfi: 103-106)

Firman Allah:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ (39)

“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah amat segera hitungan hisabNya”. (Surah An-Nur: 39)
Firman Allah:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا (23)

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”. (Surah Al-Furqan: 23)

Allah juga berfirman kepada Rasulullah S.A.W. secara khusus:

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65)

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi”. (Surah Az-Zumar: 65)

Begitulah juga Allah menerima taubat orang yang beriman yang banyak dosanya dan menutup pintu taubat kepada mereka yang tidak beriman:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا (48)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”. (Surah An-Nisa': 48)

Penjelasannya menunjukkan bahawa beriman kepada Allah yang menjadi tonggak kepada akidah Islam adalah asas penting bagi seluruh ajaran Islam yang sempurna. Tanpa iman segala amal yang baik dan akhlak yang mulia tidak bererti lagi, kerana tiada nilai di Hari Akhirat yang menjadi wawasan penting bagi semua manusia.

Amal yang soleh dan akhlak yang baik pula adalah syarat kesempurnaan iman dan Islamnya seseorang. Maka integriti seseorang tidak mencukupi tanpa akidah yang ikhlas yang menjadi asas kepada semua amal yang soleh, sama ada mengerjakan amal yang baik atau meninggalkan kemungkaran dan menolaknya atau menentangnya. Begitu juga akhlak yang luhur juga wajib berlandaskan iman yang sebenarnya.

Iman itu dinamakan juga akidah yang bererti simpulan yang kuat terhadap Islam yang dianut dengan ikatan yang kukuh. Dinamakan akidah itu berpandukan petunjuk Al-Quran:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ (256)

“Tidak ada paksaan dalam agama (menganut Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah: 256)

Taghut itu adalah melampaui sempadan Allah dalam segala aspek yang wajib ditolak. Kepercayaan kepada Allah juga merangkumi dalam segala aspek. Ikatannya adalah dengan menolak yang lain daripada Allah dan hanya percayakan Allah sahaja yang disimpulkan dalam ucapan syahadah لا إله إلا الله .

Betapa besarnya erti ucapan kepercayaan kepada Allah sahaja, walaupun sedikit dan lemah atau tanpa amal yang soleh, tetapi masih ada kemanisan iman dalam diri seseorang walaupun dia melakukan dosa yang besar dan akhlak yang buruk, atau banyak jumlah dosanya yang kecil, kerana firman Allah:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (7); Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”. (8) (Surah Az-Zalzalah: 7-8)

Adapun iman itu tetap ada walaupun sedikit. Sabda Rasulullah S.A.W.:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ .(البخاري ومسلم)

“Tiga perkara, sesiapa yang berada dalam dirinya nescaya dia masih mempunyai kemanisan iman. Iaitu: Allah dan Rasul paling dikasihi lebih daripada yang lain, kasihnya kepada seseorang kerana Allah (ikhlas) dan benci terhadap kekufuran laksana enggannya kalau dicampak ke dalam neraka”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Adanya kalangan mereka yang melakukan maksiat yang besar, bahkan melakukan kekufuran kerana kejahilannya, namun di dalam dirinya ada cintakan Islam dan tetap benci terhadap kekufuran, adalah menunjukkan masih ada kemanisan iman dalam dirinya.

Betapa pentingnya iman itu, Rasulullah S.A.W. menyebutkan: Bahawa Allah memberitahunya ada dalam kalangan manusia yang menerima suratan amal pada Hari Kiamat nanti yang penuh dengan maksiat dalam suratan yang panjangnya sayup mata memandang, sehingga tiada kelihatan amal yang soleh sedikit pun, menyebabkan terasa tidak ada harapan lagi untuk menyelamatkan diri, tiba-tiba Allah menunjukan kepadanya secebis suratan yang terlalu kecil, hanya ucapannya percayakan Allah sahaja Tuhannya, dan menolak Tuhan yang lain daripada Allah dengan sebab ucapan dan kepercayaan itu masih ada dalam dirinya, maka dia dimasukkan ke syurga.

Tegasnya menunjukkan bahawa sejahat-jahat yang beriman akhirnya ke syurga dan sebaik-baik yang kafir tetap ke neraka. Maka jagalah iman sehingga akhir hayat dan sempurnakan iman itu dengan amal yang soleh dan akhlak yang baik.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ (102)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. (Surah Aali ‘Imran: 102)

Maka integriti bersama Islam adalah merangkumi aspek kejadian manusia yang berunsurkan jasad, akal dan roh yang wajib diisi bersama iman, amal soleh dan akhlak yang mulia. Iman pula menjadi asas kepada amal yang soleh dan akhlak yang mulia. Amal yang soleh dan akhlak yang mulia tanpa iman ditolak dalam perhitungan di Hari Akhirat yang menjadi wawasan kepada penganut Islam.

Tegasnya iman tanpa amal soleh dan akhlak mulia adalah tidak sempurna. Amal soleh dan akhlak mulia tanpa iman pula ditolak.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Jamadilakhir 1440 / 27 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 27/2/2019

FIRMAN Allah:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (46)

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Surah Al-Anfaal: 46)

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman, walaupun diwahyukan sejak lima belas abad yang lalu dan sebab diturunkan kerana peristiwa yang berlaku pada zaman itu. Konsepnya Islam wajib ditegakkan dan Islam yang memimpin terus dipertahankan. Maka kelemahan dalaman umat Islam tidak boleh memecahkan mereka dalam menghadapi cabaran daripada pihak lain, khususnya jika memberi peluang kepada musuh yang sentiasa mencari kesempatan.

Perpecahan boleh berlaku kerana berebut mengejar kepentingan duniawi seperti harta dan pangkat. Berlaku juga disebabkan fanatik kaum dan mazhab walaupun bersatu agama Islamnya.

Peristiwa Uhud yang berdarah sehingga melukakan jasad Rasulullah S.A.W. dan mengugurkan para syuhada’ yang ramai, disebabkan adanya sekumpulan para sahabat mengejar harta yang ditinggalkan oleh musuh, lalu melupakan arahan Rasulullah S.A.W. supaya berkawal di tempat yang strategik.

Firman Allah:

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّىٰ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّن بَعْدِ مَا أَرَاكُم مَّا تُحِبُّونَ مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الْآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ (152)

“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki Akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman”. (Surah Ali ‘Imran: 152)

Pernah juga berlaku perpecahan kerana fanatik kabilah di antara 'Aus dan Khazraj yang pernah berperang pada zaman jahiliah. Apabila orang-orang Yahudi berjaya mengapikan semula, lalu Allah menurunkan firmanNya:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk HidayahNya”. (Surah Aali ‘Imraan: 103)

Kejatuhan kuasa Islam di Andalusia (Sepanyol dan Portugal) kerana perpecahan umat Islam, walaupun mereka telah bertapak selama lapan abad (lapan ratus tahun) dan berjaya mencipta tamadun negara yang hebat kerana membangunkan manusia dan kemajuan negara bersama Islam.

Perpecahan yang berlaku dalam kalangan raja-raja wilayah yang berpecah dan berperang sesama mereka pada pertengahan masa pemerintahan dapat diatasi, apabila Ibnu ‘Abbad salah seorang raja yang berjaya menyatukan umat bersama Islamnya dan menentang mereka yang menghalang untuk meminta bantuan daripada kerajaan Islam Murabitun di Morocco kerana kebimbangan terhadap takhta yang mungkin dirampasnya.

Ibnu ‘Abbad menegaskan bahawa:

“Lebih baik menjadi gembala unta kepada Islam yang merampas takhta daripada menjadi gembala babi apabila bukan Islam berkuasa”.

Namun akhirnya selepas beberapa ratus tahun, hilang juga kuasa Islam di Andalusia kerana perpecahan sesama sendiri yang menolak wajibnya kuasa Islam memimpin.

Begitulah kejatuhan Khilafah Uthmaniyah seratus tahun yang lalu, apabila raja-raja Arab yang berpecah sesama Islam dan bangsanya, bersatu bersama penjajah Barat untuk menentang kerajaan Uthmaniyah di atas semangat kebangsaan Arab dan hanya Arab yang layak menjadi Khalifah.

Habuannya adalah masing-masing menjadi raja yang kaya raya mengikut arahan penjajah asing, sehingga tidak mempedulikan Palestin yang dirampas menjadi negara Yahudi dan berkuasa merampas Bandar Suci Bait Al-Maqdis sehingga rakyat asal Palestin dihalau dan dimusnahkan rumah mereka untuk penempatan Yahudi yang baru datang.

Sebaliknya negara-negara Arab bersatu menentang Iran kerana dikatakan bahaya Syiah dan menentang Turki kerana bahaya Uthmaniyyah. Sehingga kini mereka dicucuk hidung supaya bersatu membiarkan Israel dan mempertahankannya daripada ancaman Turki dan Iran yang dianggap musuh, dan pengganas zionis pula dikira kawan.

Maka di sini pula kita menyaksikan kempen hebat di dalam negara sehingga ke luar negara, semata-mata mahu merebut jawatan Perdana Menteri yang sangat diidamkan tanpa peduli terhadap ketuanan Islam yang sangat mencabar dan memekakkan telinga terhadap kalangan yang berani menggugat kedudukan Islam dan kepimpinannya.

PAS boleh bersabar menjadi pembangkang sejak ditubuhkan sehingga kini, dan boleh bersatu demi mempertahankan Islam dan kepimpinan negara walaupun berbeza pendekatan, dan melupakan apa sahaja salah laku terhadapnya dan membetulkan apa-apa kesilapannya, kerana kepentingan dasar yang mewajibkan bersatu dan menangguhkan perkara sampingan yang bukannya dasar.

PAS tetap menolak konsep matlamat menghalalkan cara walau apa sahaja pengorbanannya dan jauh perjalanannya. Meskipun menjadi laksana lilin yang membakar diri demi menerangi semua pihak.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Jamadilakhir 1440 / 20 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 20/2/2019

SAYA ditunjukkan kenyataan seorang menteri yang dikatakan berijazah tinggi yang dibanggakannya dan menegaskan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. juga tiada ijazah. Kenyataannya boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat. Cumanya sangat malang dan sesat lagi menyesatkan, kalau dibandingkan mereka yang didakwa tidak berijazah itu dengan Nabi Muhammad S.A.W. yang dikatakan tidak berijazah.

Tidak boleh dinafikan adanya ijazah itu penting dan ada ilmu serta pengalaman juga penting. Sangat baik bagi mereka yang ada kedua-duanya dan tidak menjadi salah kalau ada ilmu dan pengalaman tanpa ijazah, tetapi lebih malang kalau ada ijazah tetapi tiada ilmu, dan lebih malang lagi kalau ijazahnya dibeli (walaupun tidak dinamakan rasuah) dan buta akalnya yang lebih besar dan bahaya daripada buta huruf dan paling berbahaya bagi seseorang buta Al-Quran.

Bagi manusia yang tidak berilmu seperti Allah untuk menilai seseorang, sangat penting untuk melihat ijazahnya yang bertulis. Kadang-kadang sudah mencukupi menilai seseorang dengan cara berfikir dan hasil kerjanya yang matang, walaupun tidak berijazah.

Buya Hamka rahimahullah dianggap tokoh ilmuwan yang hebat di Nusantara dengan hasil ilmu dan khidmatnya kepada masyarakat Nusantara. Walaupun ijazahnya sekadar sekolah dasar, menengah, pesantren dan mengaji di masjid, tetapi dinobatkan sebagai tokoh ilmuwan pada zamannya dan mendapat anugerah ijazah kedoktoran daripada Al-Azhar tanpa belajar di sana.

Presiden Algeria, Abdul Aziz Bouteflika hanya bersijil Thanawi (Sekolah Menengah Arab Agama), tetapi dinilai rakyat kerana peranannya berjihad sejak zaman penjajah dan dilantik dengan pengalaman dan ketajaman akalnya, sehingga pernah menjadi Menteri Luar dan akhirnya diangkat menjadi Presiden sehingga terkini. Tetapi sangat malang kalau dilantik kerana pandai menipu dan bohong, walaupun ada ijazah tarafnya laksana penjual ubat yang melariskan ubat kerana pandai bohong, bijak berauta dan putar alam. Bukan kerana ubatnya yang sebenar, tetapi sebabnya tergoda kepada cakap dan temberangnya sahaja.

Rakyat Jerman yang maju itu pernah memilih pemimpin seperti Hitler dan rakyat Itali melantik Benito Mussolini menjadi pemimpin mereka kerana pidatonya yang berapi bukan kerana ijazahnya.

Adapun Rasul Allah, Nabi Muhammad S.A.W. adalah paling tinggi ilmu dan keilmuannya sehingga lebih daripada taraf ijazah dan paling bijaksana serta mulia akhlak dan sifat kemanusiaannya walaupun buta huruf. Adalah perkara luar biasa kerana Baginda S.A.W. ditugaskan membawa mukjizat ilmu bagi segala ilmu pada akhir zaman dengan mendapat kurnia paling tinggi daripada Allah yang memiliki kerajaan yang mengatasi segala kerajaan, termasuk semua yang bertaraf kuasa besar dunia pada zaman purba dan terkini. Semua raja-raja dan pemimpin di bawah kekuasaannya.

Firman Allah:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26)

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah Ali-‘Imran: 26)

Adapun pelantikan daripada Allah yang lebih ternyata daripada segala ijazah, antaranya firman Allah:

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ (1) هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ (2) وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (3) ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (4)

“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah yang Menguasai (sekalian alam), yang Maha Suci, yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (1); Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak dan lain-lain). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (2); Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang yang lain dari mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah), Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (3); Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w, kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat) adalah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar”. (4) (Surah Al-Jumu’ah: 1-4)

Firman Allah:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (158)

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Rasul (Utusan) Allah kepada kamu semuanya (diutuskan oleh Allah) yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilahnya, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. (Surah Al-A’raaf: 158)

Pelantikannya telah dimaklumkan dan diumumkan oleh para Rasul dan kitab agama sebelumnya. Firman Allah:

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (146) الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ (147)

“Orang-orang (Yahudi, Nasrani dan lain-lain) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan Sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan Kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). (146); Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi, Nasrani dan lain-lain) itu (wahai Muhammad) adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu. (147) (Surah Al-Baqarah: 146-147)

Ilmu Al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. mencabar seluruh ilmuwan dan pemimpin dunia dengan firman Allah:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ (23) فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ (24)

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad S.A.W.), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (23); Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak akan dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya, manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir (melawan Rasul dan Kitab Allah)”. (24) (Surah Al-Baqarah: 23-24)

Ternyata benarnya semua perkara yang disebut di dalam Al-Quran dari segi fakta keilmuan agama dan urusan dunia. Perkara sejarah yang terdahulu dan kajian sains terkini daripada bumi sehingga angkasa lepas. Ternyatalah ketinggian ilmu dan peribadi diri Rasulullah S.A.W. yang dilantik oleh Allah. Maka yakinlah kita bahawa perkara yang ghaib di luar kemampuan pancaindera dan perkara yang akan datang semuanya juga adalah benar.

Maka ketokohan Nabi Muhammad S.A.W. tidak boleh dibandingkan dengan semua pemimpin dan ilmuwan.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Jamadilakhir 1440 / 14 Februari 2019 - HARAKAHDAILY 14/2/2019

(Wala', Tahaluf dan Taawun)

Islam menerima hakikat hubungan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dan madani, bersempadankan akidah dan syariat yang memelihara hubungan kemanusiaan, bersikap positif terhadap semua kebaikan dan kebijaksanaan daripada semua pihak tanpa meninggalkan Islam diutamakan dan memimpin serta menjadi petunjuk yang wajib ditegakkan mengatasi yang lain daripadanya dan disampaikan mesejnya kepada seluruh manusia.

Islam adalah penyelesaian yang wajib ditegaskan menjadi akidah perjuangan berkonsepkan Rabbani dan berwawasan dunia akhirat. Umat Islam wajib istiqamah (konsisten) menegakkan Islam yang sempurna tanpa paksaan terhadap pihak yang lain.

Wala’ (Islam memimpin dan bersatu di bawahnya) hanya kepada Islam sahaja, dan haram berwala' kepada bukan Islam. Namun diizinkan bertahaluf dan bertaawun dengan bukan Islam dalam titik persamaan yang tidak terkeluar daripada kewajipan menegakkan Islam sehingga berdaulat, bertujuan menyampaikan Islam kepada semua pihak dengan pelaksanaannya yang menyeluruh.

Maka diharamkan berwali kepada bukan Islam. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُم مِّنَ الْحَقِّ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ أَن تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِي سَبِيلِي وَابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِالْمَوَدَّةِ وَأَنَا أَعْلَمُ بِمَا أَخْفَيْتُمْ وَمَا أَعْلَنتُمْ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ (1)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi wali (kepimpinan atau teman rapat diberi kepercayaan menegakkan Islam), dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (S.A.W) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredhaan-Ku. (Tiada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul”. (Surah Al-Mumtahanah: 1)

Walaupun sebab turunnya ayat ini kerana Hatib bin Abi Baltaah R.A. (ahli Badar) yang membocorkan rahsia negara kepada musuh, namun tetap menjadi pengajaran politik kepada umat Islam sepanjang zaman.

Seterusnya ditafsirkan oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. yang dilaporkan oleh para ulama’ yang meninggalkan warisan ilmu Islam yang tidak boleh dipadamkan cahayanya yang satu sahaja, menghadapi banyaknya kegelapan oleh pihak lain yang berjenama agama, ideologi dan teori.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ (118) هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ ۚ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (119) إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (120)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (118); Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (119); Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; Dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan”. (120) (Surah Ali-'Imraan: 118-120)

Ada pula ayat-ayat Al-Quran yang mengizinkan hubungan baik dengan pihak bukan Islam dengan dinyatakan batas sempadannya. Antaranya firman Allah:

عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (7) لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)

“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam, atau berada di bawah pemerintahan Islam yang adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (7); Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada berwalikan orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka wali-walinya, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (9) (Surah Al-Mumtahanah: 7-9)

Rasulullah S.A.W. telah melaksanakan ayat-ayat tersebut dalam semua keadaan sama ada dalam keadaan lemah tidak berkuasa ketika di Makkah dan ketika berkuasa memerintah negara setelah berhijrah ke Madinah.

Ketika di Makkah, Rasulullah S.A.W. mengadakan hubungan yang baik dengan Abu Talib, bapa saudaranya yang belum Islam dan meminta perlindungan pemimpin bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan penganutnya serta bencikan kezaliman.

Dinyatakan dengan tegas untuk bersama Islam apabila Abu Talib mengemukakan tawaran damai daripada pihak musuh yang bersyarat ditinggalkan dakwah dan Islam tidak ditegakkan berdaulat. Sabdanya:

يَا عَمُّ، وَاَللَّهِ لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ. (سيرة ابن هشام ت السقا 1/266)

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati dalam perjuangan ini, nescaya aku tidak meninggalkannya”.

Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah S.A.W. menyatukan kumpulan umat Islam Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj yang telah Islam sebagai agenda pertama didahulukan dan diikuti mengadakan persefahaman tahaluf dan taawun bersama bukan Islam yang bersikap damai dan menerima kepimpinan Islam dengan syarat tidak berganjak dengan Islamnya.

Wala’ hanya kepada Islam sahaja, berpandukan firman Allah:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55)

“Sesungguhnya wali kamu (pemimpin atau penolong yang sebenar kesetiaannya) hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah”. (Surah Al-Maa’idah: 55)

Atas dasar dan konsep perpaduan umat, maka Islam didahulukan secara wala' (kepimpinan dan tonggak perpaduan) kepada semua kumpulan Islam. Adapun bukan Islam yang bersikap damai diadakan tahaluf dan taawun tersebut.

Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلَائِدَ وَلَا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَانًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan serta bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”. (Surah Al-Maa'idah: 2)

Rasulullah S.A.W. menerima Khuza'ah dan lain-lain yang berdamai terhadap Islam berkonsepkan taawun dan tahaluf ketika mereka belum menganut Islam. Fathu Makkah berlaku apabila berlakunya kezaliman oleh musuh terhadap Khuza'ah yang bertahaluf dan bernaung di bawah Islam.

Maka PAS membuat keputusan mengikut kajian Majlis Syura Ulama’ dan pelaksanaannya oleh kepimpinan pusat berpandukan Al-Quran dan Sunnah, mendahulukan pendekatan bersama kumpulan Islam di pelbagai lapangan, politik dan lain-lain serta mengadakan tahaluf dan taawun dengan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan umatnya.

PAS membatalkan hubungan dengan pihak yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepimpinan Islam seperti DAP dan lain-lain. Begitu juga pemimpin dan ahli PAS yang meninggalkan PAS kerana meletakkan perjuangannya di atas konsep yang salah dan sesat, tidak beristiqamah bersama Islam, melarikan diri daripada perjuangan Islam dan menunjukkan sikap wala'nya kepada mereka yang nyata bermusuh terhadap Islam dan umatnya, sehingga segala matlamat menghalalkan segala caranya semata-mata mahu cepat mendapat kuasa dan kedudukan.

Nas-nas Al-Quran, Hadis dan Ijma’ para ulama’ menegaskan bahawa hubungan tahaluf dan taawun bergantung kepada ijtihad yang boleh berubah hukum harus dan haramnya berdasarkan kepada situasi yang berubah dan sikap terhadap syarat-syaratnya yang dipatuhi atau tidak. Adapun haramnya berwala' kepada bukan Islam, adalah nas yang nyata yang tidak diizinkan berijtihad.

Maka lebih haram dan besar akibatnya melantik kepimpinan kerajaan yang berwala' kepada negara asing yang sangat bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, serta mendukung falsafah politik pragmatik yang menenggelamkan Islam atau melemahkan kedudukannya.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Februari 2019 / 1 Jamadilakhir 1440 - HARAKAHDAILY 6/2/2019