PULAU PINANG: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu kepada Kementerian Kesihatan supaya menaik taraf Hospital Pulau Pinang bagi menjadikannya pusat terkemuka bagi pembedahan kardiotoraks.

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, Jabatan Pembedahan Kardiotoraks di Hospital Pulau Pinang beroperasi sejak 1995 dan menyediakan rawatan dan penjagaan kritikal kepada beribu pesakit dari wilayah Utara.

Mohideen“Ia menjadi pusat rujukan utama bagi pesakit pembedahan kardiotoraks yang kompleks dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak Utara, Kelantan dan juga hospital swasta,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Malangnya, kata beliau ia tidak pernah menjalani sebarang kerja naik taraf sejak ia mula beroperasi.

Tambahnya, walaupun bilangan pesakit meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lepas, ruang wad juga tidak bertambah dan terdapat kesesakan dengan kekurangan katil dan ruang simpanan.

Katanya lagi, kekurangan katil yang amat teruk dan kesesakan yang amat kritikal sehingga wad kardiotoraks mendapat status uniseks di mana pesakit lelaki dan wanita dengan masalah paru-paru dan luka kaki dirawat bersama di dalam wad yang sama bertentangan antara satu sama lain.

“Keadaan ini tidak dapat diterima bukan hanya daripada sudut budaya dan agama tetapi daripada perspektif menyediakan penjagaan kesihatan asas dengan bermaruah kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, infrastruktur dan aset perubatan dalam bentuk katil, monitor, dan mesin elektrokardiogram juga lama dan bermutu rendah sementara Jabatan Kecemasan dan Trauma juga mengalami kekurangan ruang yang teruk dan amat sesak.

“Hospital Pulau Pinang berpotensi menjadi sebuah hospital terbaik di wilayah ini dalam pembedahan kardiotoraks dan penjagaan trauma,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Kardiotoraks sudah pun diakui sebagai pusat latihan dan pembelajaran utama bagi pegawai paramedik, penuntut perubatan, pegawai perubatan dan perunding muda.

Menurutnya lagi, pada 2015, The Royal College of Surgeons of Edinburgh menerima pusat itu sebagai tempat latihan bagi doktor kardiotoraks muda.

Tambahnya, dengan permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan pembedahan kardiotoraks dan penjagaan trauma hanya amat bermanfaat apabila Kementerian Kesihatan melabur dalam kesihatan rakyat negara ini bagi menyediakan kemudahan pembedahan kardiotoraks dan penjagaan trauma yang canggih di Hospital Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia dari wilayah Utara.

Ini, ujar beliau akan memberikan kesan besar kepada kehidupan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 21/9/2019

KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kluang dipimpin Yang DiPertua, Khairul Faizi Ahmad Kamil telah mengadakan lawatan ke negeri Terengganu, semalam.

Antaranya mengadakan lawatan di bawah Jabatan Pilihan Raya Parlimen Kluang menemui PAS Kawasan Marang bertujuan mendalami Ilmu Pengurusan Strategi berkaitan pilihan raya.

Delegasi telah disambut Penolong Setiausaha PAS Marang, Ustaz Zakaria Ismail yang menjelaskan bahawa strategi kemenangan bukan dirancang semalam, tetapi sejak Tuan Guru Abdul Hadi Awang pulang ke Terengganu tahun 1973.

Manakala sesi soal jawab telah diadakan bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Marang, Ustaz Nasir Ismail yang turut memberi suntikan semangat dan keyakinan untuk istiqamah membawa perjuangan.

Rombongan juga telah melawat Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu yang disambut Adun Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Ustaz Mohd Soud Said @ Mat Ali.

Antara rahsia kecemerlangan pentadbiran negeri ini yang terbongkar dibocorkan rahsianya oleh mereka adalah kekuatan jamaah terbina dari pengisian dalaman yakni memastikan kehadiran ke usrah sekurangnya sebulan sekali.

Menurut Ahmad Shah, para naqib dan naqibah dilatih dengan kemampuan untuk menyampaikan usrah dengan jelas dan betul dalam memenuhi tujuan tersebut. - HARAKAHDAILY 21/9/2019

IMG 20190921 WA0029

GOMBAK: Akademi Pengajian Saidatina Aisyah(APSA) membuka peluang kepada para wanita untuk melanjutkan pengajian di peringkat persijilan dan diploma dengan menawarkan enam kursus utama.

Antaranya, Diploma Eksekutif Naqibat (DEN), Diploma Eksekutif Syifa Aisyah (DESA), Diploma Eksekutif Kepimpinan AKIFI (DEKA), Diploma Eksekutif Pengurusan Rumah Tangga (DEPM), Diploma Esekutif Umrah dan Haji (DEUHA) dan Kursus Persijilan ICT.

Ketua Pengarahnya, Dr Ustazah Wahibah Tahir berkata, kursus ditawarkan APSA adalah berkonsepkan pembelajaran berterusan untuk mendalami ilmu-ilmu Islam dan meningkatkan kemahiran kewanitaan yang sesuai dengan keperluan zaman semakin mencabar.

Mengulas lanjut berkenaan APSA, beliau berharap akademi tersebut mampu berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan suatu hari kelak dengan dokongan para graduan akademi.

"Saya mengharapkan para graduasi akan terus menjadi pendokong tegar APSA sama ada terus menyambung pengajian menerusi program-program baru yang ditawarkan, menjadi penyebar ilmu meneruskan risalah dakwah ini.

"Di samping ribat (mengikat diri) dengan Gabungan Alumni APSA (GASA) agar tenaga Alumni dapat disusun dengan lebih berstrategik dari semasa ke semasa," ujarnya di majlis Konvokesyen APSA Kali Kedua di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini semalam.

Dalam satu kenyataan lain, pihak APSA turut mensasarkan penubuhan akademi ini di setiap negeri dan kini sepuluh APSA cawangan telah ditubuhkan antaranya di Pahang, Kedah, Perlis, Penang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah. - HARAKAHDAILY 21/9/2019

PETRA JAYA: Liqa' Fikri PAS Kawasan Petra Jaya telah diadakan bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dilangsungkan bertempat di Hotel Serapi, Kuching, di sini baru-baru ini.
 
Program ini dianjurkan sempena lawatan kerja Presiden PAS bagi menghimpunkan seluruh ahli PAS yang berada di sekitar Kuching untuk mendengar taujihat dan pesanan serta penjelasan terutama berkaitan isu-isu terkini.
 
Liqa' Fikri ini turut dihadiri oleh yang DiPertua PAS Petra Jaya, Morshidi Hassan dan Ketua Pemuda PAS, S Muhammad Salim dan Ketua Muslimat PAS, Habsah Bujang serta saf pimpinan Pemuda dan Muslimat.  
 
Juga seramai 150 ahli telah menghadiri Liqa' ini bagi mendengarkan sendiri amanat yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden. 
 
Menurut Tuan Guru, pendekatan muwajahah silmiyah yang digunakan oleh PAS adalah pendekatan terbaik dalam merealisasikan Muafakat Nasional seterusnya mendepani arus politik dengan mengetengahkan Islam sebagai solusi. 
 
"Wujudkan perpaduan Islam dan seluruh ummat manusia berdasarkan ibrah persaudaraan kaum Muhajirin dan Ansar," ujar beliau lagi. 
 
Beliau juga mengingatkan dengan kata-kata Imam Al-Ghazali betapa agama adalah asas, sedang kuasa pemerintahan adalah payung yang memayunginya di mana sekiranya tidak ada kuasa pemerintahan, ajaran itu akan menjadi sia-sia. - HARAKAHDAILY21/9/2019

DIKISAHKAN, pada zaman dahulu, ada sebuah keluarga yang tinggal di sebuah kampung. Mereka tinggal empat beranak. Si ayah Abdullah, anak yang sulung Abdul Wahab, kedua Abdul Wahid dan yang bongsu, Abdul Wahub. Ibu mereka sudah lama meninggal dunia selepas melahirkan Abdul Wahub. Ketiga-tiga anak itu belum berkahwin dan menjaga bapa mereka yang sudah tua sering sahaja sakit dan sudah tidak mampu untuk berkerja lagi. Banyak masa berbaring di atas katil.

Yang berkerja hanyalah Abdul Wahab, anaknya yang sulung yang lurus. Kedua adiknya pula hanya duduk di rumah dan menjaga ayahnya. Tidaklah mereka menjaga sangat orang tua itu. Asyik makan dan tidur sahaja kerjanya. Pemalas. Pun begitu, mereka pandai menipu. Banyak hal terpaksa dilakukan sendiri oleh ayah mereka. Tetapi kerana sayangkan anak, maka dipendamkan sahaja rasa kecewa sang ayah itu, untuk menjaga keluarga dari berkelahi. Buruk akibatnya.

Abdullah seorang yang agak kaya. Dia seorang penternak dan pernah dahulu menanam sayur. Dia ada berpuluh ekor lembu, kambing dan ayam yang dijaga oleh Abdul Wahab. Abdul Wahab hanya memikirkan agar makan minum keluarga mereka terjaga. Sebelum keluar kerja, dia siapkan makanan, setelah pulang petang, memasak untuk makan malam pula. Pinggan mangkuk, habis dia cuci. Sayang benar dia kepada ayah dan adik-adiknya, tidak mahu menyusahkan mereka. Naik lemaklah adik-adik Abdul Wahab.

Syahdan, suatu ketika, ayah mereka, Abdullah pergi buat selama-lamanya. Teramat sedihlah mereka kerana sudah tiada orang tua buat mereka berbakti. Tetapi hidup harus diteruskan kerana sudah menjadi adat, yang hidup pasti akan mati. Maka menjalanilah pekerjaan sehari-hari mereka seperti sediakala. Dan dalam keadaan begitu, rupanya si adik berdua itu, telah berpakat mahu membolot semua harta ayahnya. Dan rancanganpun dibuat.

Mereka berdua meminta supaya abangnya menyerahkan pembahagian pusaka kepada mereka kerana abangnya itu kurang pandai dalam kira-kira kata mereka. Selepas diberikan amanah itu, maka Abdul Wahid mengambil semua lembu-lembu itu, untuk dirinya. Manakala semua kambing serta ayam yang ada termasuk reban, diambil oleh Abdul Wahub. Dan buat kekanda mereka yang tercinta, Abdul Wahab, mereka tinggalkan beberapa uncang benih sayur yang sudah lama sahaja.

Abdul Wahab mengetahui pembahagian ini tidak adil. Maka dia memberitahu kepada adik-adiknya supaya mengira kembali harta itu dan mengagihkannya dengan betul. Sayang, rayuan abang mereka tidak dilayan, malah difitnah pula si abang itu kononnya telah lama memakan harta ayah mereka ketika ayah mereka sakit lagi. Jadi cukuplah bagi abang mereka dengan apa yang telah dicuri itu dahulu. Sekarang masa untuk mereka berdua pula menikmati kekayaan ini.

Sekonyong-konyongnya, riuh sudah hal keadaan itu di seluruh kampung berkenaan perebutan harta tiga beradik ini. Tetapi orang kampung lebih mempercayai fitnah dua adik Abdul Wahab daripada penjelasannya. Dia sangat sedih, ditipu dan difitnah oleh darah dagingnya sendiri. Kerana Abdul Wahab seorang yang baik dan tidak mahu adik-adiknya bertindak lebih jauh, maka dia mengambil keputusan untuk membawa diri dari kampung setelah kecewa dengan apa yang terjadi.

Dia kemudiannya membawa semua barang-barangnya termasuk benih-benih yang diberikan sebagai harta pusaka itu ke sebuah kampung yang jauh dari situ. Pada suatu malam, datanglah ayahnya, Abdullah dalam mimpinya. Disuruh oleh ayahnya kepada Abdul Wahab untuk menanam benih-benih itu. Diajar cara bercucuk tanam dalam mimpi itu. Nanti apabila tumbuh subur, bolehlah diambil hasilnya dan dijual. Abdullah sangat sedih kerana Abdul Wahab yang baik itu ditipu oleh anak-anaknya yang lain.

Maka segeralah berbuat akan Abdul Wahab pesanan oleh ayahnya dalam mimpi itu. Setelah beberapa lama, sayur-sayurannya mula mengeluarkan hasil. Dia mula menjual dan kembali menanam. Beberapa lama kemudian, Abdul Wahab mengutip lagi hasilnya. Begitulah kitaran hidupnya, akhirnya dia menjadi saudagar sayur yang berjaya. Dia sudah pandai mengira. Dia juga menjadi seorang yang dermawan dengan orang-orang susah.

Nun, di kampung asal Abdul Wahab, dua adiknya pula menjalani kehidupan yang sangat berbeza dari abang mereka. Setelah mendapat harta, mereka menjual sedikit harta itu untuk belanja. Makan mereka selalu di kedai kerana tidak pandai memasak. Pakaian mereka cantik-cantik. Mereka baru mengenal dunia kerana sebelum ini terlalu lama tinggal di rumah, menjaga ayah mereka, sehingga tidak kenal dunia luar. Oleh itu, semuanya mereka terpaksa beli kerana mahu hidup.

Mereka dikelilingi oleh rakan-rakan yang mahu menumpang harta mereka. Ke sana ke sini, tiada arah dan tujuan. Tugas mereka membodek dua beradik itu. Kian lama, harta semakin kurang. Maka diberilah cadangan oleh rakan-rakan mereka, agar mereka berjudi, mana tahu, untung nanti akan menjadikan harta mereka berganda-ganda. Setelah dipujuk, kedua beradik itu pun bersetuju untuk mencuba nasib. Didatangilah mereka tempat berjudi bagi mencari rezeki. Nasib si penjudi, adakala menang, adakala kalah.

Disebabkan mereka baru belajar, mereka sentiasa kalah, jarang-jarang menang. Rakan-rakan yang rapat, mula merenggang. Kedua beradik itu dipuji ketika berada. Lembu, kambing dan ayam, semakin berkurang. Akibat terlalu banyak dipuji dahulu, mereka masih merasa mereka kaya dan cerdik padahal sebaliknya. Sehinggalah mereka mula berhutang dengan taukeh judi. Hutang semakin banyak, harta semakin sedikit, kawan semua hilang, namun judi, tidak mereka tinggalkan kerana sudah ketagih.

Suatu hari, tauke judi memberi amaran kepada mereka supaya membayar dahulu hutang-hutang mereka sebelum boleh berjudi. Apabila mereka memeriksa harta mereka, mereka dapati mereka hanya mempunyai sepasang lembu dan sepasang kambing sahaja yang tinggal. Mereka merasa susah hati. Ketika mahu minum di kedai juga, mereka tidak lagi diberikan minuman sebelum membayar hutang-hutang lama. Bertambah walang hati mereka.

Terjumpalah mereka dengan seorang penjual yang memberitahu mereka bahawa si abang mereka, Abdul Wahab sekarang sudah menjadi kaya kerana berniaga sayur. Disuruhlah kepada mereka agar meminta bantuan dari abang mereka itu. Mereka merasa malu tetapi kerana tiada arah, Abdul Wahid dan Abdul Wahub pun, meminta ditunjuki jalan ke kampung Abdul Wahab bagi meminta tolong. Dan mereka terus pergi menemui Abdul Wahab setelah tahu jalannya ke sana.

Sesampainya mereka di rumah Abdul Wahab, disambutlah kepada mereka berdua itu dengan tangisan, melihat kepada kesusahan mereka dan bermaafan. Kedua adiknya, setelah itu, meminta diberitahu bagaimana Abdul Wahab menjadi kaya sedemikian. Maka diceritakanlah akan hal kejadian yang berlaku, kerana dia bercucuk tanam. Abdul Wahab menasihatkan mereka supaya mengembangkan harta mereka itu. Jangan dihabiskan, contohi dia menanam sayur dan berniaga hasil dari benih pusaka yang dia perolehi dahulu.

Teramat gembiralah mereka mendengar akan jalan menjadi kaya raya itu dari kekanda mereka yang tidak pula menaruh dendam sedikit pun. Belum sempat diceritakan semua, dengan segera mereka meminta izin untuk pulang kerana mahu mengembangkan harta mereka. Setelah diberikan bekal wang secukupnya oleh Abdul Wahab dan juga makanan, bergeraklah mereka dengan pantas kerana tidak mahu bertangguh lagi. Berazamlah mereka untuk bertaubat bagi menebus semua hutang dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sesampainya di kampung, mereka segera melakukan kerja-kerja mengembangkan harta mereka yang ada itu. Setelah berpenat bertanam, mereka ke kedai untuk makan dan minum untuk berehat. Dengan sedikit bekalan wang yang diberikan kekanda mereka, mereka makan dan minum. Mereka berjanji kepada tuan kedai, akan membayar semua hutang-hutang mereka selepas harta mereka berkembang dan mereka berjaya nanti seperti kekanda mereka. Dianggukkan sahaja janji itu oleh tuan kedai, dipandang pun tidak.

Berjumpa pula mereka dengan tauke judi, sudah mahu berhenti mereka daripada berjudi. Juga dijanji akan dibayar hutang-hutang mereka itu nanti. Tauke judi itu setuju dengan janji membayar hutang itu tetapi agak ragu. Maka ditanyalah tauke itu akan mereka berdua, dari mana mereka akan dapat wang untuk membayar semua hutang-hutang mereka, sedangkan mereka sudah tiada harta. Mereka berdua menjawab, jangan bimbang kerana mereka telah memulakan kerja bertanam untuk berniaga.

“Oooo begitu. Apa yang lu olang tanam ini hali?,” Tanya tauke judi lagi.

“Kami menanam lembu dan kambing kami yang ada tu. Nanti, dapatlah kami hasil. Abang kami dah buat, dia kembangkan hartanya dengan bercucuk tanam dengan benih pusaka. Dia dah berjaya pun. Kami nak ikut jejak dia,” kata mereka berdua dengan yakin dan gembira.

Tauke judi melihat mereka berdua dengan matanya yang berkaca, sambil hujung bibirnya bergerak-gerak, menahan geram. Tauke judi tahu mereka bodoh, tapi tidaklah dia sangka sebodoh ini. Nampaknya tak dapat baliklah duit hutang dia.

Moral cerita ini, jangan menipu, jangan pecah amanah, jangan berjudi, jangan balas dendam, jangan percaya kawan-kawan yang jahat, jangan rasa pandai, kena buat wasiat sebelum mati, kalau nak bertaubat kena ada ilmu, semangat saja tapi bodoh tak guna, nak tiru boleh tapi kena tahu cara. Rasa-rasanya nampak tak watak-watak ni? Siapa Abdullah, Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub, tauke judi dan tuan kedai, dalam politik Malaysia?

MOHD NASIR ABDULLAH
21 September 2019 - HARAKAHDAILY 21/9/2019

KERJASAMA PAS-Umno adalah menjadi faktor besar perubahan lanskap politik bukan sahaja di Semenanjung tapi juga di Sabah dan Sarawak atas semangat federalisme. PAS optimis bakal menjadi kerajaan pasca PRU-15. Ini memerlukan komitmen GPS bersama dalam usaha meranapkan kerajaan PH yang tidak berupaya mentadbir seperti sekarang. 
 
PAS sudah menapak secara rasmi lebih 20 tahun dan malah telahpun wujud sebelum itu cawangan pertama di Sarawak iaitu Bintulu pada tahun 1986. Ini merupakan bukti PAS diterima masyarakat Sarawak. Walaupun parti asal semenanjung tetapi agendanya bukan agenda "Semenanjung" malah agendanya adalah kesejahteraan rakyat melalui prinsip Islam untuk semua rakyat Malaysia.
 
Berdasarkan penelitian PAS, GPS tidak mampu melawan PH berseorangan tanpa bantuan PAS. Titik persamaan antara GPS dan PAS adalah tidak mahu DAP berkuasa di Sarawak. Maka kerjasama ke arah tersebut perlu dilihat dengan lebih cermat dalam merangka strategi menjelang PRN ke-12 kelak bagi memastikan PH kalah di Sarawak.
 
PAS menjadi wadah baru pilihan rakyat di Semenanjung selepas kerajaan yang sedia ada dilihat tidak berupaya mentadbir, banyak kerosakan berlaku dan ekonomi tidak seimbang malah pelaburan negara tidak berkembang. PAS juga boleh dan akan menegur GPS sebagai kerajaan sedia ada sekiranya tidak melaksanakan keperluan rakyat Sarawak yang masih lagi tidak terlaksana. GPS tidak boleh menolak rakyat yang berubah memilih PAS sekiranya GPS tidak mengambil pengajaran apa yang terjadi kepada Barisan Nasional pada PRU ke-14 yang lalu.
 
Apa yang penting, kepentingan Bumiputera Sarawak adalah keutamaan. Kuasa utama perlu diberi dan dikekalkan kepada orang Bumiputera Sarawak. Inilah keutamaan yang dilihat oleh PAS kepada negeri Sarawak kini. PAS Sarawak didokongi oleh pakar dan golongan profesional sebagai penggerak utamanya. Kebijaksanaan dan pengaruh golongan ini adalah besar kepada perubahan Sarawak apatah lagi senario politik yang sangat dinamik muktakhir ini.
 
TUAN HAJI JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak - HARAKAHDAILY 20/9/2019

SALAH satu rumusan Forum ‘Naratif Malaysia Baharu’ yang dibuka dan ditutup oleh dua pemimpin DAP, Steven Sim Chee Keong dan Michelle Ng Mei Sze, di Mega Chinese Methodist Church pada 14 September 2019 adalah begini: Peruntukan Islam agama Persekutuan dalam Perkara 3(1) tidak boleh mengatasi peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kebebasan untuk menukar agama.

Rumusan ini disampaikan oleh moderator forum, Philip Koh, yang jelas kelihatan tidak senang dengan tindakan mahkamah membenarkan peruntukan mengenai Islam, Melayu dan Raja mengatasi Perkara-perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sama-sama kita amati ucapan Philip Koh ini:

“Kebangkitan Islam adalah sebahagian daripada keseluruhan 3 R yang kita perkatakan: Agama, Kaum, Raja. Isu-isu ini adalah meluas dalam cara di mana saya, sebagai seorang peguam, bila saya lihat kepada mahkamah, bila pada satu ketika mahkamah kelihatan membenarkan 3 R untuk mengatasi Perkara-perkara lain dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) memang menyebut, dan kita mesti memberinya penekanan dan penghormatan, bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi Perkara 3(4) adalah amat jelas, ia menyebut bahawa tiada apa-apa dalam perisytiharan ini yang mengurangkan, menjejaskan atau melemahkan mana-mana perkara lain. Dan saya akan memanggil beliau seorang kawan, Tan Sri Malanjum, mantan Ketua Hakim Negara, saya ingat beliau dalam kes Lina Joy, sesetengah kita pernah dengarnya, beliau menyebut, “Hello, hello, ada sesiapa yang lihat kepada Perkara 3(4)?” Beliau sesatunya suara yang tidak bersetuju tetapi terdapat suara-suara dominan dalam kehakiman yang menggunakan Perkara 3(1) untuk mengatasi Perkara-perkara lain, termasuk kebebasan untuk seseorang menukar agamanya.”

Resurgent Islam, right, is part of this whole the 3 Rs that we talked about: Religion, Race, Rulership. These issues are pervasive in a way of which I, as a lawyer, when I look at the courts, when at one point the court seems to allow the 3 Rs to trump, not Donald Trump but to trump, the interpretive articles of the Federal Constitution. Article 3(1) says indeed, and we must give it all the weight and respect, that Islam is the religion of the Federation, but Article 3(4) is so clear, right, it says that nothing in this declaration shall derogate, shall affect or impair any other articles. And I would call him a friend, Tan Sri Malanjum, the retired Chief Justice, right, I remember him in the Lina Joy’s case, right, some of us have heard of that, he said, “Hello, hello, is anybody looking at Article 3(4)?” He was the single dissenting voice and yet there were dominant voices in the judiciary that used the Article 3(1) to trump the other articles, including the freedom of someone to convert and to change his religion or her religion.”

Tidak bercorak politik lagikah forum yang sebegini rupa ini? - HARAKAHDAILY 20/9/2019

KERAJAAN Malaysia telah mengumumkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 19 September yang lalu. Ia merupakan pelan pelaksanaan lima tahun dari 2019 sehingga 2023. Sejumlah kira-kira RM21.6 bilion akan diperuntukkan bagi menjayakan pelan yang berpaksikan tujuh sasaran utama. Tujuh sasaran itu ialah pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar satu peratus Pendapatan Negara Kasar (GNI) pada 2020; ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri pada 2023; 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih tersedia dengan capaian minimum 500Mbps pada 2021. Ia turut merangkumi 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps pada 2022; rangkaian gentian optik meliputi 70 peratus sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos pada 2022; kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk pada 2023 dan penambahbaikan liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo setelah selesai pembinaan.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak turut menegaskan bahawa matlamat NFCP juga adalah menggalakkan daya saing rakyat melalui penyediaan "kemahiran hidup", prasarana dan capaian yang berkesan dalam era digital serta meningkatkan penglibatan rakyat dan perniagaan dalam merancakkan perkembangan ekonomi digital menjelang era Revolusi Industri 4.0. Pelan ini dilihat sangat selari dengan hasrat dan cita-cita PAS bagi membina sebuah Negara Sejahtera melalui gagasan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS)

WINS merupakan sebuah gagasan yang digariskan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi membina Negara Malaysia menjelang 2051. Salah satu dasar yang menjadi kerangka WINS ialah membina sebuah Negara yang menjamin ketenteraman, kemakmuran dan kesenangan, kepada rakyat. Ini terhasil daripada gabungan prinsip Perlembagaan Negara, pembangunan manusia dan ekonomi yang menekankan aspek keadilan kepada semua lapisan rakyat. Bagi mencapai wawasan ini, PAS telah membahagikan gerak kerjanya kepada tiga Fasa iaitu Fasa 1 (Transformasi Negara Sejahtera, 2018-2030), Fasa 2 (Negara Sejahtera Negara Model, 2030-2040) dan Fasa 3 (Malaysia Memimpin, 2040-2051). Pengisian bagi mencapai Fasa 1 dipandu dengan 10 teras utama. Dua teras utama dilihat sangat selari dengan NFCP iaitu capaian infrastruktur cekap, meluas dan mampu milik dan pengurangan kos sara hidup.

PAS Selangor memandang usaha ini dengan sangat positif dan berharap dapat memberi manfaat kepada beberapa kawasan seperti kawasan perindustrian di Telok Panglima Garang dan kawasan berimpak di sekitar bandar Shah Alam, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Sepang dan Banting. Jumlah sasaran akan meliputi hampir 1,600,000 premis. Keadaan ini pasti akan membantu perkembangan industri di kawasan yang berkenaan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

PAS Selangor akan menyahut cabaran ini dengan menyediakan beberapa siri latihan kepada golongan B40 dan M40 bagi menyahut cabaran ekonomi digital. Selain itu, PAS Selangor berharap Pelan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus seterusnya menjamin jumlah sasaran dapat dicapai dengan berjaya.

YB DATO' DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya
PAS Negeri Selangor - HARAKAHDAILY 20/9/2019

TAWAU: Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah meluangkan masa melawat mangsa kebakaran Kampung Sri Menanti dan Kampung Otentik, Tanjung Batu, di sini hari ini.

Kunjungan beliau seusai solat Jumaat di Masjid Nurul Huda yang terletak kira-kira 20 meter dari tapak kebakaran itu sebagai menzahirkan keprihatinan terhadap ujian dilalui mangsa.

Beliau juga sempat menyantuni mangsa yang ditemui dengan peringatan bahawa ujian hidup sedemikian merupakan antara rahmat besar dan Allah mengangkat darjat hamba-hamba-Nya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Masjid Nurul Huda, Ustaz Mohamad Nasir Ali untuk diagihkan kepada mangsa kebakaran.

Dalam tragedi pada 26 Ogos lalu, lebih 100 keluarga hilang tempat tinggal dan memerlukan bantuan dalam segala segi di mana PAS Kawasan Tawau mengharap semua pihak terus menghulur sumbangan. - HARAKAHDAILY 20/9/2019 

IMG 20190920 WA0036

SAYA mengulangi desakan Timbalan Presiden PAS, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, supaya pihak berkuasa menyiasat Forum 'Naratif Malaysia Baru' yang dianjurkan pada 14 September 2019 baru-baru ini. Forum tersebut, selain daripada menyebarkan misi fahaman pelampau Kristian iaitu Evangelicals Christian dan Dominionism, ia turut mempromosikan gagasan pemisahan Sabah dan Sarawak dari Persekutuan Malaysia.

Sungguh membimbangkan sekali bila Forum ‘Naratif Malaysia Baharu’ di Mega Chinese Methodist Church yang dicanangkan oleh Herman Shastry dari Majlis Gereja Malaysia dan Steven Sim dari DAP, bertujuan menyambut Hari Malaysia dan mendidik penganut Kristian untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam pembinaan negara bangsa dipenuhi dengan promosi ke atas kegiatan memisahkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

Hakikatnya, inilah yang dilakukan oleh salah seorang panelisnya, iaitu Prof James Chin, warganegara Malaysia yang berasal dari Kuching, Sarawak, dan kini memegang jawatan Pengarah the Asia Institute di University of Tasmania, yang mempromosikan persidangan antarabangsa satu kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak di Melbourne, Australia, pada 22 September ini (lusa).

Tidak cukup dengan mempromosi, beliau turut menawarkan tiket percuma pula kepada sesiapa yang mahu menyertai persidangan antarabangsa ini. Lebih penting daripada itu adalah dakwaan Prof James Chin bahawa kumpulan-kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak ini mempunyai sokongan di peringkat antarabangsa.

Saya dengan ini sekali lagi mendesak pihak berkuasa menyiasat keterlibatan Prof James Chin dengan kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak ini, seterusnya menyiasat sejauh manakah negara luar menyokong kumpulan pemisah Sabah dan Sarawak.

Saya dedahkan transkripsi ucapan Prof James Chin ini seperti di bawah:

What is also very interesting in the last 10 years is that many of these secessionist movements actually have international dimension to it. They have supporters outside Malaysia. They set up groups outside to support them. So on 22nd of this month (September), there will actually be a conference, an international conference convened by the secessionist movements. They got to hold it in Melbourne and they got to discuss the future of Sabah and Sarawak outside the federation. So if you are in Melbourne on 22nd of September, come and see me, I will give you the ticket to attend it, FOC, free of charge.” - HARAKAHDAILY 20/9/2019

KUALA LUMPUR: Kesanggupan PAS berkawan dengan Umno telah membuktikan jiwa besar parti Islam ini terutama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas pengalamannya dengan parti Melayu itu.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, banyak perkara telah diperlakukan Umno terhadap ulamak itu, tetapi beliau memberi satu 'mindset' yang benar kepada pemimpin PAS lainnya.

Malah, sampai kepada akar umbi parti ini, Tuan Guru menurut beliau, sentiasa menasihatkan dengan hadis agar bersikap seadanya dalam mengasihi seseorang kerana mungkin akan membenci orang itu dan sebaliknya juga.

"Itu beliau nak bagi 'hint' sikit-sikit supaya kita boleh terima Umno ini, boleh terima penyatuan ini. Letak survival Islam lebih atas lagi, lebih tinggi lagi daripada kepentingan individu, kepentingan parti dan sebagainya. Sangat berjiwa besar (Tuan Guru).

"(Malah) Tak ada orang sebenarnya dalam (hal seperti) ini (suka bergabung dengan pihak yang telah kalah). Biasanya orang suka bergabung dengan orang yang menang. Memang, bukan tak ada jemputan atau 'invitation' daripada PH.

"PH sebelum ini (jemput) supaya PAS datang kepada mereka dan sebagainya. Tapi kita berjiwa besar, kita letakkan tak guna menang sekiranya kita (Islam) tidak dominan di dalam sesuatu kerajaan tersebut. Islam masih lagi tidak boleh dibawa" ujarnya.

Perkara tersebut dihujahkannya dalam Wacana Sinar Harian membicarakan tajuk "PAS - Umno: Dulu Bergaduh Sekarang Berkawan" di Pejabat Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, semalam.

Tambahnya, jiwa besar ditunjukkan pimpinan, Majlis Syura Ulamak dan Tuan Guru Presiden telah mengenepikan segala perbezaan, sebaliknya semata-mata cuma meletakkan survival Islam itu tinggi dan penting.

Kesatuan tersebut juga jelas Dr Rosni, adalah jiwa umat Islam Nusantara hingga menjadikan negara umat Islam di sini aman berbanding di lain yang menghadapi campur tangan asing. - HARAKAHDAILY 20/9/2019

MAJLIS konvokesyen APSA yang ke 2 bakal dirasmikan oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Dewan Dato' Hj. Fadzil Mohd. Nor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) pada 21 September 2019.

Dewan Muslimat PAS dengan penuh takzim mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) di atas daya usaha, kegigihan dan kesabaran sepanjang mengharungi pengajian masing-masing.

Penghargaan tidak terhingga kepada seluruh tenaga pengajar APSA, para pensyarah yang telah banyak bekorban masa, tenaga dan dengan ikhlas menjalankan amanah sebagai guru tanpa jemu dan lelah. Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan, kesihatan dan dipermudahkan segala urusan para tenaga pengajar dan para naqibat yang masih dalam pengajian.

Sokongan dan dorongan yang telah diberikan oleh semua peringkat sama ada di negeri, kawasan, cawangan dalam membiayai pengajian pelajar APSA turut perlu dihargai oleh para graduan dan para naqibat. Sesungguhnya amal infak dan seluruh yang terlibat insyaAllah diganjarkan dengan pahala dan saham jariah yang berkekalan kelak.

Setulus kasih juga diucapkan kepada para ibu bapa, suami yang telah memberikan semangat dan dukungan yang penuh kepada pasagan dan anak-anak mereka untuk menamatkan pengajian di APSA ini. Tanpa mereka semua, kejayaan manis ini tidak dapat dilakar pada hari konvokesyen esok.

Akhir kata, setinggi tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua graduan konvokesyen APSA ke 2. Semoga ilmu dan pengalaman dapat terus disemak dan dikongsi ke medan lapangan kelak.

Sirru ala barakatillah!

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Muharram 1441
20 September 2019 - HARAKAHDAILY 20/9/2019