DEWAN Muslimat PAS Malaysia berasa bimbang dengan bencana jerebu yang sedang melanda Malaysia. Jerebu ini juga boleh membawa mudarat kepada kesihatan tubuh badan akibat daripada udara yang tidak sihat dihidu sepanjang hari.

Bacaan (IPU) melalui sistem online setakat ini meningkat 367 (taraf bahaya). Dan beberapa daerah di beberapa buah Negeri juga meningkat bacaan (IPU) walaupun bacaan yang berbeza- beza, namun perlu bersedia kerana berbagai-bagai kemungkinan akan terjadi.

Ini juga adalah kategori bala sebenarnya, yang mana Allah telah berfirman di dalam surah Ad Dhukhan ayat 9 - 12.

Surah Ad-Dukhaan Ayat 9:

‎بَلْ هُمْ فِي شَكٍّ يَلْعَبُونَ

"(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara ugama."

Surah Ad-Dukhaan Ayat 10:

‎فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُّبِينٍ

"Oleh itu, tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)."

Surah Ad-Dukhaan Ayat 11:

‎يَغْشَى النَّاسَ ۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

"Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”."

Maka amalkan doa ini, moga-moga Allah angkat segala bala ini.

Surah Ad-Dukhaan Ayat 12:

‎رَّبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ

"(Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”."

Maka marilah kita umat Islam seluruhnya tadabur, fahami dan berdoa ayat - ayat di atas, memohon agar Allah bantu kita seluruhnya.

LATAS (Lajnah Asas Tani dan Alam sekitar) dengan ini mengajakkan seluruh Dewan Muslimat PAS Kawasan - kawasan untuk mengadakan solat hajat serentak pada malam Jumaat 20/9/19 ini.

Tindakan menutup sementara waktu sekolah-sekolah di beberapa buah daerah di seluruh negara adalah tindakan yang wajar. Berikut antara langkah yang disarankan semasa musim jerebu.

Tindakan penjagaan kesihatan semasa jerebu dengan segera.

1)    Kurangkan aktiviti di luar bangunan
Pakai penutup mulut dan hidung apabila berada di luar bangunan
2)    Banyak minum air kosong
3)    Basuh tangan dan muka setelah melakukan aktiviti luar bangunan
4)     Apabila memandu gunakan penghawa dingin dengan mod kitaran dalaman
5)     Pastikan udara dalam bangunan sentiasa bersih

Marilah sama-sama kita mengutamakan kesihatan diri, keluarga dan persekitaran dan banyakkan berdoa, zikir dan solat hajat. Semoga Allah memberikan menurunkan hujan dan melindungi kita daripada segala musibah.

SALMAH ABDUL LATIF
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar
(LATAS)
18 Muharram 1441
18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

 

BAGAN: Sektor Pelapis Jabatan Amal Pulau Pinang telah mengadakan Perkhemahan Tahunan Kadet Banat di Pusat Bina Diri, Pantai Robina, Butterworth, di sini 13 hingga 15 September lalu.

Perkhemahan ini mengumpulkan 64 peserta perempuan daripada Sekolah Menengah Islam Tahfiz Sains Dan Teknologi (SMITSAT) dan Maahad Tahfiz Akademi Al Quran As-Syamil (AQSA).

Antara objektif perkhemahan ini bagi mencungkil bakat kepimpinan dan menerap kemahiran asas seperti berkawad, memasak, ikatan dan simpulan serta Modul Ikhtiar hidup.

Majlis penutup dirasmikan oleh Pegawai Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohammad Shafirol Rozali.

Beliau berkata, perkhemahan ini mengajar perkara yang tidak diajar melalui pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dan ia bermanfaat untuk diamalkan.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Jabatan Amal Malaysia, Mohd Bakeri Abdullah dan Pengarah Jabatan Amal Pulau Pinang, Baharin Ahmad serta Yang DiPertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Muhd Sobri Salleh, selain Ketua Muslimat PAS Tasek Gelugor, Tuan Bedah Syed Mohammad. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0060

IMG 20190918 WA0062

IMG 20190918 WA0063

JEREBU adalah fenomena yang terjadi apabila kepekatan aerosol atau zarah-zarah terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi. Zarah-zarah yang terampai ini menyerap dan menyerakkan cahaya matahari sehingga mengurangkan jarak julat penglihatan [1].

Sebenarnya pencemaran udara disebabkan jerebu ini bukan sahaja disebabkan oleh zarah-zarah terampai, tetapi ia juga berlaku disebabkan oleh gas-gas beracun dan berbahaya yang berlebihan di udara [2].

Zarah-zarah terampai ini terdiri daripada 70 peratus zarah karbon, 20 peratus debu tanah dan 10 peratus tidak diketahui puncanya. Manakala gas berbahaya pula terdiri daripada gas karbon monoksida, nitrogen dioksida, ozon dan sulfur dioksida. Zarah terampai yang mempunyai saiz kurang daripada 10 mikron (PM10) dicerap jumlah kuantitinya di udara dengan menggunakan alat khas menguji kualiti udara [2].

Jerebu di Malaysia bukanlah satu fenomena baru kerana ia mula direkodkan pada tahun 1982 apabila jerebu serantau dari pembakaran hutan yang mengganggu kehidupan seharian di Malaysia [3]. Sejak itu, beberapa episod jerebu telah direkodkan. Episod-episod yang teruk ini berlaku pada tahun 1997, 2005 dan 2015 [4]. Kini tahun 2019 episod jerebu kembali teruk.

Jerebu asap yang berlaku di Malaysia dan Asia Tenggara mengandungi kepekatan bahan pencemar udara yang tinggi. Merujuk kepada Hell dan Goldammer [5], kebakaran hutan yang terdiri dari tumbuhan dan pembakaran haiwan menghasilkan sejumlah besar gas berbahaya dan zarah terampai. Di dalam keadaan tertentu situasi ini boleh menyumbang kepada kematian dan penyakit serius [6] kerana partikel halus yang terhasil boleh masuk ke dalam sistem pernafasan.

Kesan kesihatan kepada manusia semasa episod jerebu telah direkodkan berdasarkan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital, biasanya ia berkaitan dengan masalah pernafasan. Contohnya seperti kes pada tahun 1997, jumlah kunjungan pesakit luar di Hospital Besar Kuala Lumpur meningkat dari 250 hingga 800 orang sehari semasa episod tersebut [7].

Keadaan jerebu yang berpanjangan sudah pasti akan menyebabkan penurunan produktiviti di dalam aktiviti seharian kita. Oleh itu pengawalan dan pencegahan perlu dilaksanakan. Prinsip pengawalan boleh bermula pada sumbernya (at sources), laluan (at path) dan kepada penerima (receiver).

Pengawalan pada sumbernya adalah dengan pengawalan terhadap penebangan dan pembakaran hutan, pembakaran terbuka, pemprosesan industri, pembakaran bahan api serta kenderaan bermotor. Pengawalan kepada penerima pula adalah kepada manusia. Antaranya dengan memakai alat pelindung pernafasan jenis N95. Semua pihak disarankan untuk mengambil peranan dan langkah pengawalan yang berkesan samada diperingkat Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan, Komuniti, keluarga dan diri sendiri.

Namun adakah kita yakin bahawa dengan mengenalpasti punca dan pengawalan yang dilaksanakan episod ini tidak akan berulang? Atau sebenarnya episod ini semakin mencabar kelestarian alam kita apabila berhadapan cabaran pembangunan moden? Atau sebenarnya ini adalah peringatan Allah kepada kerakusan manusia!

DR. HAMDAN A
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda (JPro), DPPM
Pengerusi
Persatuan Siswazah Serdang Prihatin (PERSIP) 

Rujukan 

1.     Seinfeld, J.H., Pandis, S.N., 2006. Atmospheric Chemistry and Physics: from Air Pollution to Climate Change, second ed. JohnWiley & Sons, New Jersey
2.     Mastura Mahmud, Nuur Huraizah Abu Hanifiah, Pencemaran udara berikutan peristiwa jerebu tahun 2005:Kajian kes di Perai, Pulau Pinang, Malaysia (Air pollution during the haze event of 2005: The case of Perai, Pulau Pinang, Malaysia)
3.     Mohd Shahwahid, H.O., Othman, J., 1999. Malaysia. In: Glover, D., Jessup, T. (Eds.), Indonesia's Fires and Haze: the Cost of Catastrophe. Institute of Southeast Asian Studies, Singapore
4.     Mohd Talib Latib et. al. , Impact of regional haze towards air quality in Malaysia: A review.
5.     Heil, A., Goldammer, J.G., 2001. Smoke-haze pollution: a review of the 1997 episode in Southeast Asia. Reg. Environ. Change 2, 24–37
6.     Kampa, M., Castanas, E., 2008. Human health effects of air pollution. Environ. Pollut. 151, 362–367
7.     Afroz, R., Hassan, M.N., Ibrahim, N.A., 2003. Review of air pollution and health impacts in Malaysia. Environ. Res. 92, 71–77. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

FB IMG 1568796138291

TANJUNG MALIM: Perkhemahan Tahunan Amal (PTA) Wilayah Persekutuan telah diadakan di Kem Ma'ahad Tahfiz Ad-Diniah Nur Ramadhan milik Ustaz Abdul Aziz Arof, di sini 14 September lalu dan berakhir kelmarin.

Program tahunan ini berlangsung seusai semua anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Wilayah Persekutuan menamatkan tugas pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di PWTC.

Ketua Pengarah AMAL Malaysia, Norazman Ishak berkata, PTA adalah medan anggota mengerat ukhuwah dan mahabah, selain belajar mempraktikkan kemahiran serta mengasah kepimpinan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Muhammad Rashidi Abdul Razak menegaskan kepentingan kualiti yang sebenarnya menjadi elemen penting anggota.

Turut memberi pengisian sepanjang PTA ini adalah Ustaz Abdul Aziz sendiri, selain peserta juga mempelajari modul pengurusan jenazah, kawad kaki, penggunaan kompas, walkie talkie, kejuruteraan dan elektrik.

Semua teori dipelajari tersebut kemudiannya dipraktikkan dalam slot Explorace yang mencabar minda dan fizikal serta kesatuan para peserta. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

 

IMG 20190918 WA0040

IMG 20190918 WA0041

IMG 20190918 WA0042

IMG 20190918 WA0043

IMG 20190918 WA0045

IMG 20190918 WA0046

IMG 20190918 WA0047

PANDAN: Ameerah Kawasan Pandan telah mengadakan program Ameerah Aware dalam menyedarkan penduduk masyarakat setempat berkaitan masalah jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengarah Ameerah Aware, Aqilah Mukhtar berkata, program ini sebagai tanda keprihatinan Ameerah terhadap warga setempat atas terkesan oleh fenomena jerebu yang berlaku sejak minggu lalu.

Sehubungan itu, Ameerah Pandan telah mengadakan edaran topeng muka dan risalah kesihatan berkenaan tips menghadapi jerebu kepada orang ramai di sekitar Midpoint Pandan Indah, di sini kelmarin.

Aqilah berkata, program dilakukan ini sewajarnya dilihat sebagai satu perkara penting perlu dititikberatkan oleh penduduk di tempat lain agar menjadi rakyat yang peka dengan keadaan semasa negara.

Beliau yang mengetuai program tersebut berhasrat untuk meneruskan lagi aktiviti berbentuk sedemikian dengan lebih meluas lagi bagi meningkatkan kesedaran penduduk di Pandan ini.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) kelmarin menunjukkan kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Cheras (156) dan Petaling Jaya (146) berada dalam kategori bacaan tidak sihat.

Ianya yang boleh dilihat sebagai satu perkara yang boleh membahayakan kesihatan penduduk setempat di daerah ini. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0037

IMG 20190918 WA0036

HULU LANGAT: Muslimat PAS Cawangan Bandar Bukit Mahkota telah mengadakan program Rehlah Rabithah Cinta yang dilangsungkan di Aulad Kidz Planet Ventures, Bandar Puteri, di sini kelmarin.

Program berbentuk pembangunan diri dan motivasi ini bertujuan membina semangat kerjasama berkumpulan dan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Bandar Bukit Mahkota.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat, Siti Safura Mohd Isa mahu program sedemikian dilaksanakan secara berkala ke arah menyediakan kesiapsiagaan 'bertempur' pada PRU15 nanti.

Manakala Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Hulu Langat, Ustazah Norul Huda Bakar pula menyeru agar thabat dan berdiri laksana batu bata yang disusun mengukuhkan binaan jamaah.

“Jadilah kita pipit-pipit kecil yang membawa sedikit air di dalam paruh untuk memadamkan nyala marak yang membakar Nabi Ibrahim. Usaha kita mungkin nampak sedikit dan tidak signifikan tetapi secara kolektif insya-Allah usaha sedikit yang istiqamah amat besar impak dan nilainya di sisi Allah,” ujar beliau.

Ketua Muslimat PAS Bukit Mahkota, Nor Faridah Mat Nong turut menyeru mempersiapkan segala upaya dan kekuatan melawan musuh yang begitu berazam memecah belahkan masyarakat dan membenamkan identiti dan jati diri umat Islam.

“Allah menuntut kita mengerahkan kekuatan baik rohani, fizikal, kemahiran, harta, apa jua kelebihan dan aset milik kita untuk agama Allah. Tidak memadai melakukannya sambil-sambil atau suka-suka kerana kerja dakwah dan siyasah itu menuntut usaha tersusun dan serius.

"Hari ini kita recharge minda dan ukhuwwah sebagai rejuvinasi untuk kita bertenaga menghadap tugasan seterusnya,” tegasnya menghurai ayat 60 surah al-Anfal.

Program ini mendapat partisipasi penuh para peserta dalam beberapa modul team-building dan peserta turut diraikan dengan cenderamata cabutan bertuah sebagai penghargaan komitmen dan diakhiri dengan doa wehdah. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

photo6055227954453129618

Mohd Ariff Abdullah mengacau bubur asyura.

KOTA BHARU: Kekecewaan anak muda setelah memberi seribu harapan kepada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 akhirnya terubat selepas muncul penyatuan ummah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, hari ini anak-anak muda memberi harapan kepada penyatuan ummah bagi membela nasib mereka.

Katanya, anak muda mampu berbangga kerana dapat merasai penyatuan ummah membabitkan parti Melayu terbesar di negara ini.

“Pada kempen PRU lepas mereka begitu teruja dengan manifesto yang ditawarkan termasuk menghapus hutang PTPTN dan pelbagai lagi.

“Jadi hari ini anak-anak muda meletak pula pengharapan kepada penyatuan ummah untuk mencapai hasrat murni demi kepentingan rakyat di negara ini.

“Kita berbangga kerana menjadi generasi yang dapat merasai nikmat penyatuan yang dipimpin PAS dan Umno serta didukung Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

SAYA tak ingat ianya pada masa tingkatan berapa, tetapi ayat 103 ali-'Imran yang diulang-ulang baca semasa Himpunan Penyatuan Ummah 14 September 2019 yang lalu oleh Qari jemputan, Ustaz Tarmizi Ali memang dalam sukatan pelajaran Pengajian Agama Islam.

Surat ali-‘Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."

Dalam kelas kami diberitahu kisah Kaum Aus dan Khazraj sebelum Islam menyatukan mereka. Bukan setahun dua mereka saling berperang, berbunuh bunuhan, zalim kepada antara satu sama lain. Ramai yang jadi mangsa. Anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, kematian akibat saling berperang, bermusuh, bunuh-membunuh.

Akhirnya atas dasar Islam, kedua-duanya kaum ini dipersaudarakan. Melupakan segala dendam. Berazam membina persaudaraan dan kasih sayang.

Peristiwa saling membunuh, berperang, permusuhan diketepikan dan dilupakan kerana Islam dan penyatuan ummah itu lebih besar dari itu.

Sentiasa ada yang cuba menyucuk jarum agar perpaduan dileraikan. Seperti dikisahkan sebab-sebab turunnya ayat 103 ali-'Imran ini seperti berikut.

Asbabun Nuzul :

Diriwayatkan oleh Al-Faryabi dan Ibnu Abi Hatim, yang bersumber dari Ibnu ‘Abbas bahwa ketikau kaum Aus dan Khazraj duduk-duduk, berceritalah mereka tentang permusuhannya di jaman jahiliyah, sehingga bangkitlah amarah kedua kaum tersebut. Masing-masing bangkit memegang senjatanya, saling berhadapan. Maka turunlah ayat tersebut (Ali ‘Imran: 101-103) yang melerai mereka.

Diriwayatkan oleh Ibu Ishaq dan Abusy Syaikh, yang bersumber dari Zaid bin Aslam bahwa seorang Yahudi yang bernama Syas bin Qais lewat di hadapan kaum Aus dan Khazraj yang sedang bercakap-cakap dengan riang gembira. Ia merasa benci dengan keintiman mereka, padahal asalnya bermusuhan. Ia menyuruh seorang anak muda anak buahnya untuk ikut serta bercakap-cakap dengan mereka.

Mulailah kaum Aus dan Khazraj berselisih dan menyombongkan kegagahan masing-masing, sehingga tampillah Aus bin Qaizhi dari golongan Aus dan Jabbar bin Shakhr dari golongan Khazraj saling mencaci sehingga menimbulkan amarah kedua belah pihak.

Berloncatanlah kedua kelompok itu untuk berperang.

Hal ini sampai kepada Rasulullah S.A.W sehingga beliau segera datang dan memberi nasihat serta mendamaikan mereka. Mereka pun tunduk dan taat.

Saya harap kita faham watak Yahudi yang bernama Syas bin Qais yang bencikan persaudaraan Islam yang terbentuk antara Aus dan Khazraj ini akan sentiasa ada.

Tiada salah sedikitpun jika disebut agenda menyatupadukan ummah, memperkasakan Islam melalui penyatuan ummah adalah lebih besar dari segala permusuhan yang pernah kita lalui sebelum ini.

AHMAD AMZAD HASHIM
18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

KOTA BHARU: Kelantan dijangka menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, memandangkan program serupa diadakan di Serambi Mekah.

Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada 30 juta jumlah pelancong yang disasarkan melawat Malaysia tahun hadapan juga berkunjung ke Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri mensasarkan 5.5 juta pelancong mengunjungi Kelantan tahun hadapan.

Katanya, daripada jumlah itu 30 peratus membabitkan pelancong asing terutamanya dari Eropah.

“Kita menawarkan pelancongan berasaskan keluarga, makanan dan festival sebagai tarikan mengunjungi negeri ini tahun hadapan.

“Pelancong datang bersama keluarga boleh menikmati pelbagai aneka makanan yang jarang ditemui di tempat lain.

“Selain itu kita menyusun lebih 40 program menarik termasuk bertaraf antarabangsa sepanjang tahun 2020,” katanya di sini.

Beliau yakin sasaran jumlah pelancong akan menjadi kenyataan memandangkan sekarang terdapat banyak penerbangan domestik ke Kota Bharu daripada beberapa bandar besar termasuk Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.

Malah katanya, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di Malaysia dengan pelepasan lebih 50 penerbangan sehari dari Kota Bharu.

Manakala penerbangan antarabangsa pula tiga kali seminggu dari Singapura menggunakan pesawat tambang murah Scoot.

Md Anizam juga berkata, pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 dijangka diadakan pada 25 Oktober bertempat di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV.– HARAKAHDAILY 18/9/2019

ADA sebuah kisah berkenaan dua orang yang bersahabat. Seorang bernama Mat, agak kelihatan bergaya, macam pandai, selalu menunjukkan sikap mahu lebih dari orang lain. Bila bercakap, panjang-panjang teorinya. Bila mengkritik, banyak kesalahan orang yang dia boleh senaraikan. Selalu penampilannya seperti seorang profesional, kelihatan cerdik, yakin dan bergaya bagi mengagumkan khalayak.

Walaupun cakapnya si Mat ini ada banyak juga yang merapu, namun dia tidak pernah hilang keyakinan bagi menguasai keadaan. Bagi yang tidak kenal dia, akan terpegun dengan perwatakan Mat. Sentiasa kemas dan ramah. Itulah Mat, seorang yang 'over confident' dengan menganggap dia seorang sahaja yang tahu banyak hal, tanpa dia menilai kecerdikan orang lain yang kadang-kadang jauh lebih pandai darinya.

Manakala rakannya yang sudah lama dikenali, Man pula, bersikap agak kontra dengan Mat. Mat tidak banyak bercakap, kecuali hal yang perlu. Dan bila dia bersuara, pastinya terus kepada maksud perbincangan. Tidak suka menonjolkan diri, tidak merendahkan orang lain. Berusaha menghapuskan masalah dengan baik tanpa memerlukan jalan yang panjang yang tidak perlu.

Beliau juga seorang yang bijak dan berkebolehan, tapi tidak suka memperbodohkan orang lain. Suka membantu orang. Penampilannya tidak dibuat secara melampau-lampau bagi menarik perhatian orang. Apa yang ada, itulah dia. Memudahkan orang dengan kepandaiannya juga salah satu sifat Man. Begitulah beza ketara antara kedua mereka dari dalam diri.

Mereka pada suatu hari berjalan, menunggang kuda, pergi ke suatu tempat yang agak jauh. Setelah lama menunggang, mereka sampai ke suatu tempat lapang. Dan kebetulannya waktu sudah hampir senja. Mereka mencari tapak yang sesuai untuk berkhemah. Setelah menurunkan semua barang, mereka pun mula mendirikan khemah.

Selesai semuanya, makan minum, membersihkan diri, mereka berdua pun berbual sekejap sebelum tidur. Mereka tidur dengan agak nyenyak pada malam itu, mungkin kerana keletihan berjalan. Esok pagi pula mereka mesti bangun awal untuk meneruskan perjalanan mereka. Malam itu sangat tenang, tiada tanda-tanda untuk hujan.

Di tengah keenakan tidur itu, tiba-tiba Mat dikejutkan oleh Man. Mat membuka matanya dengan penuh kemalasan. Dia bertanya kepada Man, apa mahunya. Man kemudiannya bertanya kembali kepada Mat, adakah dia nampak jutaan bintang-bintang di atas langit sana tu? Mat menjawab ya, kenapa? Man bertanya lagi, apa maksudnya?

Oleh kerana Mat suka menunjukkan kepandaiannya, maka dia pun bangun dari tidur dan duduk bersila, memulakan berceloteh mengeluarkan ilmu 'bintang'nya. Dia memberitahu berbagai nama bentuk buruj, arah dan kegunaannya sambil jarinya menunjuk-nunjuk ke langit, seperti dia tahu segalanya tentang cakerawala. Disebut satu persatu hal perkara yang entah betul atau tidak, kerana Mat tidak mahu mendapat malu jika mengaku tidak tahu. Yang penting tunjuk pandai.

Setelah agak lama Mat berceloteh, dia memandang Man dengan harapan Man akan kagum dengan kehebatannya itu. Man tanpa ragu mengetuk kepala Mat. Mat yang kehairanan bertanya Man kenapa diketuk kepalanya, bukan hendak berterima kasih atas maklumat yang diberi, malah disakiti pula dia. Man tenang menjawab,

"Maknanya khemah kita kena curilah bodoh"

Pendek, padat dan tepat sekali jawapan yang Man berikan. Kerana terlalu nyenyak tidur, khemah mereka dicuri pun, mereka tak sedar, habis semua barang-barang dan kuda juga dilarikan orang. Maka meloponglah Mat, tidak dia terfikir kerana mahu menunjuk pandai, dia melalut memberilan jawapan yang entah apa-apa.

Sama keadaan sekarang dengan PAN. Hanya PAN sahaja yang berkokok dengan kuat melaungkan kebimbangan mereka dengan penyatuan Ummah atau dikenali dengan Muafakat Nasional. Parti-parti lain pun ada kritikannya, tetapi tidaklah sebimbang PAN yang kelihatan takut sungguh jika DAP kalah. Mereka berhujah tanpa kebenaran. Semua teori yang salah mereka ulangi, bila diketahui salah, dibuka pula teori lain.

Mereka memutar belitkan cerita bagi menunjukkan betapa jahatnya cerita penyatuan ummah ini. Yang paling laku dalam isi teori mereka ialah penyatuan ini bakal membawa kepada isu perkauman dan sentimen keagamaan yang dahsyat. Mereka bercakap dan terus bercakap untuk menunjukkan kepandaian mereka kepada umum.

Sedangkan muafakat ini sangat jelas, iaitu mahu menyatukan ummah dengan Melayu Islam sebagai teras bagi negara, tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain. Sudah dibuktikan, di mana-mana tempat, jika Islam memerintah, penganut lain, selamat. Bumiputera mempunyai hak yang utama di tanah bertuah ini, manakala yang hak pihak lain juga akan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Begitulah maksud muafakat ini, sangat mudah untuk difahami, tidak berbelit-belit.

Tetapi kerana mereka merasakan mereka pandai dan kononnya profesional, mereka teruskan perkataan batil mereka. Sedangkan jelas, tiada penentangan dari kalangan Melayu Islam sendiri untuk muafakat ini, kecuali dari PH sahaja. Rakyat menyokong kerana sudah jelak dengan permainan politik PH, yang mana lebih teruk. Apabila DAP menuntut hak mereka, tiada isu rasis, PAN diam seperti kura-kura masuk ke dalam cengkerangnya. Apabila Melayu Islam minta, langsung dituduh rasis oleh penyokong PH.

Presiden PAS ke Sarawak bagi menerangkan hal keadaan penyatuan ini. DAP adalah duri dalam daging kepada perpaduan antara kaum di Malaysia. Jelas Presiden PAS meminta supaya DAP ditolak. PAS tidak mempunyai sebarang kerusi di Sarawak. PAS lemah, DAP kuat di sana. Tetapi tanpa takut, kebenaran, harus dijelaskan kepada rakyat Sarawak dengan mudah dan jelas. Ini adalah perjumpaan kedua PAS dengan kerajaan Sarawak. Sebelum ini dengan almarhum Adenan Satem, dan kunjungan beliau, diterima baik.

Apa lagi rakyat Sarawak mahu setelah kerajaan Negeri membayar sejumlah wang lebih RM1 bilion, seperti yang diminta oleh kerajaan Pusat, kerajaan Pusat masih membiarkan prasarana sekolah-sekolah kelolaan Pusat yang usang dan uzur tidak diperbaiki. Inikah jasa DAP kepada rakyat setelah mereka menang? Berdendam jugakah PH? Mana hak rakyat dalam demokrasi? Begitu hina Sarawak diperlakukan, bagaikan meminta sedekah dengan kerajaan Pusat, tetapi tidak dilayan. Dan parti DAP inilah yang dipertahankan oleh PAN dengan sepenuh hati?

Suka saya memberi ingat, bangsa yang selalu membanggakan keturunan, kepandaian mereka, lantas menolak kebenaran ialah bangsa Yahudi. Mereka tetap berkata bohong dan menyombong diri, menolak Rasulullah hanya kerana Baginda berdarah Arab, demi ego mereka, walaupun mengenali Nabi seperti anak sendiri. Tafsiran sombong ialah menolak kebenaran. Jika sudah jelas kebenaran di hadapan mata, tetapi ditolak, maka berhati-hatilah kerana akibat sombong, tidak mencium bau syurga. Saya tidak mengatakan PAN sebagai Yahudi, jangan salah sangka. Tetapi jika kamu terasa sebegitu, kerana ada persamaan, apa boleh saya buat.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan wujudnya sindiket mendapatkan dokumen perjalanan (pasport) dan dokumen pengenalan diri (MyKad) secara fraud. Dalam operasi yang dijalankan, dikatakan sejumlah 20 individu termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia secara fraud telah ditahan. 
 
Saya mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat siapakah dalang utama di sebalik sindiket ini. Penubuhan RCI sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan sindiket penjualan MyKad adalah suatu tragedi kepada negara serta melibatkan kepentingan awam. Tambahan pula, PDRM dalam kenyataan medianya turut memberikan indikasi bahawa sindiket ini belum ditumpaskan sepenuhnya kerana masih ada ahli-ahli sindiket yang masih bebas.
 
Banyak persoalan yang memerlukan kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik. Rakyat mahu tahu apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran? Berapakah jumlah sebenar MyKad yang telah dijual dan apa status pemegang MyKad secara pintu belakang ini? Adakah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada pilihanraya akan datang? Adakah ribuan MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih ramai pegawai JPN yang terlibat?
 
Pemberian MyKad kepada warganegara asing ini umpama bom jangka kepada penduduk tempatan. Sejak sekian lama, media melaporkan warganegara asing ini telah terlibat dengan pelbagai jenayah. Pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat. Bahkan, pada tahun 2008, terdapat cubaan seorang warganegara asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara. 
 
Paling mengejutkan adalah apabila Penolong Pengarah JPN, Datuk Lai Chin Wah sendiri telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan sindiket ini. Sekiranya sindiket ini tidak terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu ini dinaikkan pangkat kelak. Tanpa suruhanjaya siasatan yang bebas, saya khuatir penangkapan pegawai tinggi JPN ini hanyalah untuk menutup siapa pengkhianat sebenar yang menyerahkan negara kepada yang tidak berhak.
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
18 September 2019/ 18 Muharram 1441H - HARAKAHDAILY 18/9/2019

KOMPOSISI orang Melayu Islam dianggarkan sekitar 69 peratus daripada 33 juta penduduk di Malaysia. Jumlah yang besar ini harus disatukan terlebih dahulu dengan acuan Islam sebelum mengorak langkah membina peradaban baharu di negara ini. Dari segi politik pilihan raya, jumlah pengundi Melayu yang mengundi PAS dan Umno dalam PRU14 yang lalu adalah sekitar 70 peratus. Sekiranya jumlah ini digembleng secara positif, maka satu perubahan yang lebih baik akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia. 
 
PAS optimis penyatuan Melayu dengan acuan Islam mampu menstabilkan politik dan melonjakkan negara ke arah mercu yang lebih gemilang. Kekuatan politik Melayu juga akan menjadi benteng yang ampuh untuk mempertahankan tiang seri negara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan seperti Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera. 
 
PAS juga ingin menegaskan bahawa penyatuan Melayu dengan acuan Islam tidak sesekali mengabaikan kaum lain untuk menganut agama pilihan mereka, menuturkan bahasa ibunda mereka dan menafikan hak ekonomi mereka. Perkara ini jelas dijamin dalam peruntukan Perlembagaan dan tidak berubah. Penyatuan Melayu sebagai kaum majoriti mesti diposisikan dengan baik. Hal ini bukan hanya untuk kepentingan politik pilihan raya, tetapi untuk kesejahteraan kedaulatan negara. 
 
PAS mahu mengingatkan DAP dan Pakatan Harapan supaya tidak mempamerkan dakyah ‘bogeyman’ dengan melabelkan penyatuan ummah sebagai klepto-teokrasi, talibanisme, rasisme dan ekstremisme. Walhal, pada masa yang sama DAP begitu rancak mempromosi ‘The Kingdom of God’ dan ‘The Jesus Manifesto’ seperti yang diungkapkan oleh YB Steven Sim Chee Keong (Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam - DAP) dalam forum Naratif Malaysia Baharu yang diadakan di Kota Damansara, 14 September lalu. 
 
Apa yang diperjuangkan oleh PAS dan Umno adalah penyatuan ummah yang lebih inklusif dengan mengutamakan perpaduan orang Melayu dan Islam tanpa prejudis terhadap kaum lain. Ia selaras dengan tuntutan Islam, Perlembagaan dan konteks sejarah dan kepentingan semasa. Bagaimana pula dengan DAP? Adakah agenda kristianisasi dalam politik Malaysia satu tindakan yang wajar? PAS menggesa pihak polis menyiasat penganjuran dan kandungan forum tersebut bagi mengelakkan kecelaruan dalam kalangan rakyat.
      
Sekian, terima kasih.     
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
18 Muharram 1441 | 18 September 2019 - HARAKAHDAILY 18/9/2019