BATU GAJAH: Lajnah Dakwah PAS Kawasan Batu Gajah telah mengadakan majlis gotong-royong memasak bubur asyura dengan anjuran bersama PAS Cawangan Bemban Raya, di sini.

Majlis yang turut menyediakan masakan bubur lambuk ini telah dilangsungkan dengan jayanya di kediaman Ketua Penerangan PAS Batu Gajah, Muhammad Fadhzil Adnan, kelmarin.

Juga terlibat bersama menggabungkan tenaga pada program digerakkan 44 petugas ini adalah Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Batu Gajah dipimpin Komandan, Wan Hammad Wan Alias.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Batu Gajah, Ustaz Mohd Esa Abdul Kadir menyifatkan majlis telah disuntik gelombang Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang berakhir sehari sebelumnya.

Malah katanya, majlis yang turut melibatkan jiran tetangga berhampiran itu juga menyemarakkan semangat patriotik kenegaraan apabila diadakan bersempena Hari Malaysia.

Dua jenis bubur dengan masing-masing membawa rasa manis dan masin itu kemudiannya dibungkus dan diedarkan kepada lebih 200 penduduk selepas solat Zohor. - HARAKAHDAILY 18/9/2019 

IMG 20190918 WA0004

MACAM dah tak ada modal, sebelum ini mereka meratib PAS Umno nak bersama dalam kasus UG, khasnya sejak tahun 2015, sebelum pun mereka jadi kerajaan lagi hingga pemilihan PAS pun mereka ganggu.

Nah sekarang PAS telahpun sah bersama dengan Umno malah memeterai Piagam Muafakat Nasional (PMN) untuk semua kaum, bukan untuk hanya Melayu sahaja, kerana prinsip asas penyatuan ini adalah Islam yang adil kepada semua.

Kalau pihak PAN ada Rahmatan Lil Alamin yang sering rahmatnya hanya untuk membela DAP. Berbeza dengan PAS ada Islam Memimpin Perpaduan, tidak mengetepikan langsung kaum lain, malah PAS menjamin kelangsungan kaum lain dengan keadilan Islam. Lihat sahaja contoh di Kelantan, patung Buddha terbesar berada di Tumpat, tiada pun diganggu jauh sama sekali dirosakkan.

Non Muslim di sana hidup dalam keharmonian yang jitu, walau apa sahaja provokasi berlaku di luar Kelantan, namun rakyat di sana sudah biasa dengan keharmonian Serambi Makkah, jauh sama sekali mereka mahu merungut rasa tidak selamat berada di negeri yang ditadbir PAS.

Adapun doktrin jahat DAP yang kerap mengusik Kontrak Sosial dan Perlembagaan Negara memberi gambaran bahawa mereka benar-benar mahu menjayakan Malaysian Malaysia dalam erti kata lain, projek 'men - Singapura' kan Malaysia.

Disebabkan itulah mereka cukup bimbang akan penyatuan Umno-PAS dan Piagam Muafakat Nasional ini.

Lantas mereka melalui orang suruhan menjayakan misi menyerang PAS khasnya bertubi-tubi, malah memfitnah PAS bersama perompak.

Ingatkah kita semua siapa yang menggelar Umno sebagai perompak? Bukankah mereka yang berada dalam PAN, DAP, PKR dan Bersatu yang acap kali sebenarnya sejak dahulu menyerang dan menggelar Umno sebagai perompak.

Malah dalam dakwaan isu RM90 juta, ternyata hari ini dakwaan itu lenyap kerana SPRM telah menyatakan sebaliknya.

Maka hari ini setelah gagal membuktikan dakwaan jahat itu, mereka mengalih pula persepsi rakyat agar melihat PAS-Umno ini rasis.

Kenapa? Mereka kini mula mahu menutup "bangkai gajah" yang mereka simpan sendiri.

Kelemahan ketara sejak mereka menerajui negara adalah gagal mengotakan janji pilihan raya, gagal mengembalikan kestabilan ekonomi dan politik, malah mereka gagal menyakinkan pelabur untuk berurusan di negara ini.

Lebih mengecewakan, mereka berbalah sesama sendiri termasuk tidak malu memaparkan adegan hanyir angkara mahu merebut kuasa.

Perang kem Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir Mohamad tidak berkesudahan, malah kini memuncak, sedangkan rakyat tidak mahu melihat semua ini. Janji "Malaysia Bersih" dalam slogan mereka hanya janji palsu, mereka juga kini dikaitkan dengan projek kronisme, rasuah dan sebagainya. Hanya yang bergembira adalah DAP kerana berjaya melaga-lagakan parti Melayu dalam PH dan menjadikan PAN sebagai "ayam tambatan" bagi menyerang dan menangkis musuh.

Kenapa DAP memperkuda PAN?

Kita susuri sedikit sejarah DAP menentang agenda Melayu.

DAP adalah parti serpihan Parti Tindakan Rakyat Singapura (People’s Action Party - PAP) yang ditubuhkan pada 1954 di mana pelopor awal PAP, Lee Kuan Yew bertindak sebagai Setiausaha agung parti itu. Sejurus Singapura berpisah daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965, pendaftaran PAP di negara ini dibatalkan sebulan kemudian.

Diketuai Ahli Parlimennya, Devan Nair - yang ditinggalkan oleh PAP - cuba menghidupkan PAP yang baharu dengan nama Parti Tindakan Rakyat Malaysia, namun pendaftar pertubuhan menolak penubuhan PAP kerana nama sama itu akan mengelirukan orang ramai.

Kemudian Devan Nair menggunakan nama baharu, ‘Parti Tindakan Demokratik’ atau DAP.

Pada 3 Mac 1966, surat dari Pendaftar Pertubuhan menolak penubuhan DAP kerana perlembagaan parti itu tidak selaras dengan peraturan undang-undang Pendaftaran Persatuan.

Pada 19 Mac (1966) pendaftaran DAP diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Devan Nair berulang kali menegaskan bahawa DAP tidak akan mengamalkan dasar perkauman dan berusaha mencantumkan kembali Singapura ke dalam Malaysia.

DAP yang baru ditubuhkan itu dipelopori pula oleh setiausaha politik Devan Nair, Lim Kit Siang yang dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengan Kuan Yew yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Dalam Pilihan Raya Umum 1969, DAP dan Gerakan (ketika itu masih menjadi pembangkang) menang besar di Selangor. Perikatan dianggotai Umno, MCA dan MIC pula hilang majoriti dua pertiga. DAP dan Gerakan menjadi ‘besar kepala’.

DAP menggunakan kebebasan bersuara tanpa batasan dan kawalan untuk mengutuk dan menghina bangsa Melayu dengan kata-kata kesat dan mengaibkan dalam perarakan besar-besaran di Kuala Lumpur dengan membawa sepanduk dan pembesar suara.

Itu hanya baru 12 tahun selepas kaum Cina diberi taraf kerakyatan penuh melalui dasar ‘jus soli’ sebagai salah satu syarat utama British untuk kemerdekaan.

Menurut laporan rasmi Majlis Gerakan Negara (mageran) yang dipengerusikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, tindakan DAP mengadakan perarakan jalanan meraikan kemenangan mereka dengan menghambur sentimen perkauman terhadap bangsa Melayu menjadi pencetus kepada rusuhan kaum yang menelan korban lebih 2,000 nyawa.

Pucuk pimpinan DAP sering mencanangkan parti itu sebagai harapan baharu untuk semua kaum dan bangsa.

Namun tindak tanduk parti itu sehingga sekarang tidak menampakkan kemurnian berkenaan.

Lihat sahaja selepas mereka menjadi kerajaan dan "meng-abang long" kan parti mereka sebagai parti pengemudi kerajaan PH.

Mereka tidak takut sudah untuk mengganyang Melayu sama ada isu berkaitan agama mahupun isu hak Melayu, dan tidak kurang menyentuh institusi beraja.

Selepas HPU914, mereka semakin merasai bahawa PH hanya akan jadi kerajaan sepenggal, disebabkan itu penyatuan Umno-PAS mula di "doktrin" kan sebagai ekstremis.

Label ini semata-mata mahu diletakkan kepada PAS-Umno agar non Malay akan terus menjauhi PAS-Umno.

Usaha mereka ini tidak akan berhenti, lihat sahaja bagaimana media mereka memainkan peranan memutarbelitkan ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di himpunan sambutan 16 September di Sarawak.

Malaysiakini menggunakan tajuk "Jangan biarkan Cina Kuasai Sarawak" dengan tujuan mahu membangkitkan rasa marah kaum Cina kepada PAS, walhal secara terang Tok Guru menyebut Cina DAP.

Nak dikatakan mereka tak faham, kita semua tahu mereka sebenarnya amat faham, namun strategis mereka mahukan agar tajuk yang dibuat memberi gambaran awal dan membangkit rasa amarah..

Inilah kerja mereka sebenarnya sejak sekian lama, melaga-lagakan agar keharmonian dapat diinjak.

DAP akan terus gunakan isu perkauman dan rasis untuk menyentap sokongan rakyat kepada penyatuan PAS-Umno, tatkala mereka gagal meyakinkan rakyat akan prestasi mereka mentadbir negara.

Mereka habis modal, apa sahaja yang lalu di hadapan mereka putar semahunya agar sokongan rakyat terarah kepada mereka. - HARAKAHDAILY 18/9/2019

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengajak seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam agar bermunajat, memohon bantuan daripada Allah untuk menghilangkan musibah jerebu yang melanda negara mutakhir ini. Ramai yang mengalami masalah kesihatan, banyak sekolah ditutup dan pelbagai urusan terpaksa ditangguhkan. Musibah jerebu yang melanda negara tidak boleh dipandang enteng.

DUPP turut mengecam pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan dan mengabaikan kelestarian alam sekitar sehingga menjejaskan kesihatan awam. Hal ini bukan perkara yang baharu, malah berlaku saban tahun. Tiada tindakan drastik oleh pihak-pihak tertentu untuk mengurangkan masalah-masalah tersebut. Fungsi hutan yang sebenar telah dimusnahkan demi memenuhi keserakahan nafsu manusia.

DUPP mengingatkan isu pencemaran asap atau jerebu adalah sebahagian daripada kerakusan manusia. Firman Allah S.W.T:

“Telah berlaku kerosakan di daratan dan lautan adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia”

(Ar-Rum, ayat: 41)

Ulamak menafsirkan ayat tersebut dengan merujuk kepada kemarau serta kehilangan keberkatan akibat daripada kemaksiatan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia.

Oleh itu, DUPP menyeru seluruh umat Islam agar memohon ampun kepada Allah dan kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Perbanyakkan solat taubat, berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada azab-Nya yang pedih.

Sekian.

DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) - HARAKAHDAILY 17/9/2019

 

MARAN: Program mengacau asyura mampu merapatkan ukhuwah dalam komuniti kerana melibatkan ahli kariah bergotong-royong daripada awal menyediakan bahan sehinggalah menikmati hasilnya.

Perkara tersebut dinyatakan Adun Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak ketika menghadiri program mengacau asyura anjuran Masjid Kampung Bukit Cempedak, di sini hari ini.

Mengacau bubur asyura secara bergotong-royong merupakan tradisi masyarakat Melayu Islam sejak dulu dan sinonim dengan tanggal 10 Muharam saban tahun.

Hari Asyura sering dikaitkan dengan kisah Nabi Nuh dengan kaumnya selepas berakhir peristiwa banjir besar di mana baginda mengarahkan supaya di masak makanan menggunakan segala bijian yang ada.

Sementara itu program di Masjid Kampung Bukit Cempedak kali ini dijalankan secara sederhana, tetapi tetap meriah seperti tahun-tahun yang lampau.

Di dalam ucapannya, Ustaz Mujib turut mengingatkan supaya beramal dengan tiga pesanan Nabi Muhammad supaya iaitu memberi makan (bersedekah), menyebarkan salam dan menunaikan solat malam qiyamullail.

“Kita juga dianjurkan agar memohon afiat kesihatan dan keampunan dosa daripada Allah. Ada 10 afiat, lima di dunia dan lima di akhirat. Lima di dunia itu ialah memiliki ilmu, beramal dengan ilmu, ikhlas, syukur, redha dengan ketentuan Allah.

"Manakala lima afiat di akhirat ialah muka menjadi putih berseri di mahsyar, timbangan kebaikan lebih berat daripada kejahatan, hisab dimudahkan, dapat meniti titian Siratul Mustaqim dengan selamat dan yang terakhir dapat memasuki syurga,” katanya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pengerusi MPKK Kampung Bukit Cempedak, Abd Wahab Salim serta Jawatankuasa Masjid Kampung Bukit Cempedak. - HARAKAHDAILY 17/9/2019

IMG 20190917 WA0067

PARIT BUNTAR: PAS Kawasan Parit Buntar telah mengadakan ziarah dan menyerahkan sumbangan buat keluarga yang menjadi mangsa ribut di kediaman mereka di Sungai Labu, di sini kelmarin.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Shaiful Amir Yusof kepada mangsa, Sulaiman Jumaah yang tinggal bersama isteri, Faridah Baseri dan anak-anak mereka.

Cerita Sulaiman, ketika kejadian sekitar jam 6:15 pagi itu, anak-anaknya sedang bersiap untuk persekolahan di mana angin bertiup kencang dari arah laut dan menerbangkan hampir keseluruhan atap kediaman mereka.

Dengan kerugian dianggarkan sekitar RM20,000, keadaan tersebut sememangnya membebankan beliau yang hanya bekerja mengambil upah membuat bendang dan mengidap pula sakit buah pingggang sejak 7 tahun lalu.

Manakala isteri beliau hanya bekerja dengan syarikat bekalan makanan di Tanjung Piandang, sementara dua anaknya masih bersekolah.

Sehubungan itu PAS Parit Buntar merayu orang ramai membantu keluarga ini dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 08235-29-85904636-3 atas nama Faridah Baseri. - HARAKAHDAILY 17/9/2019

IMG 20190917 WA0064

IMG 20190917 WA0065

Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan peserta Cabaran Awang Selamat.

KOTA BHARU: Cabaran Mr Awang Selamat patuh syariat akan diadakan di lokasi terbuka dan bukan lagi tertutup seperti pernah dianjurkan sejak 2006.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, agama Islam menggalakkan sukan selagi aktiviti tersebut menepati tuntutan syariat.

Oleh itu katanya, cabaran Mr Awang Selamat tahun ini dirancang diadakan di tempat terbuka untuk memberi pendedahan kepada golongan belia dan orang ramai terhadap sukan patuh syariat.

"Sebelum ini kita adakan di dewan tertutup di mana orang perempuan tidak dibenarkan masuk. Penganjuran tahun ini kita akan lakukan di pasar raya selaras Enakman Kawalan Hiburan," katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Cabaran Mr Awang Selamat Kelantan 2019 di Mabna MBI hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco Zuraidin Abdullah; Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin dan Yang Dipertua Persatuan Awang Selamat Anak Kelantan (Pasak), Azaizuree Ahmad.

Acara yang dianjurkan U-Bes dengan kerjasama Pertubuhan Awang Selamat Kelantan (Pasak) akan diadakan pada 12 Oktober depan di Dewan Puteri Saadong, Grand Riverview Hotel. - HARAKAHDAILY 17/9/2019

KUALA LUMPUR: Kerjasama PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional atas perkara yang baik bagi penyatuan ummah dan mensejahterakan negara.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, kerjasama yang terjalin itu bukan untuk memecahbelahkan rakyat di negara ini.

“Kita sama sekali tidak akan membiarkan kalau ada pemimpin yang bersalah, mesti diserahkan kepada mahkamah.

“Siapa sahaja yang bersalah perlu dihukum. Tidak ada siapa yg boleh mengatasi undang-undang.

“Perjuangan kita untuk bekalan mati, bukan untuk hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal kenyataan-kenyataan negatif terhadap kerjasama kedua-dua parti Melayu terbesar negara itu.

Lantaran itu, pelbagai tohmahan yang turut dilemparkan oleh pihak musuh yang tidak senang dengan kerjasama itu seperti memecahbelahkan perpaduan ummah, kerjasama itu tidak akan berkekalan serta akan terburai dan sebagainya.– HARAKAHDAILY 17/9/2019

SHAH ALAM: Penduduk Sungai Kedongdong, Paya Jaras Hilir di Sungai Buloh hari ini terkejut apabila dapat tahu bekalan elektrik dan air akan dipotong untuk proses perobohan rumah pada esok hari.

Menurut Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak, Azroy Manaf, tiada sebarang notis pemberitahuan diberikan kepada penduduk berhubung perkara itu.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini melalui perbincangan awal antara wakil peduduk dengan pihak kerajaan negeri sudah bersetuju menangguhkan seketika proses perobohan rumah sehingga tempoh yang akan ditetapkan.

"Kita telah meminta campur tangan daripada YB Sivarasa (Ahli Parlimen Sungai Buloh) telah pun melanjutkan kepada Menteri Besar. Sepatutnya kami berpindah pada 5 September lalu, namun ditangguh sehingga 16 September. Itu perbincangan awal dengan YB Sivarasa dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Borhan Aman Shah

"Sepatutnya pada 10 September juga ada perbincangan lanjut seperti yang dirancang oleh YB Sivarasa untuk bincang bersama YB Khairuddin (Adun Paya Jaras), Menteri Besar dan pihak pejabat tanah, tetapi perbincangan itu langsung tidak ada.

"Dikatakan tiada apa-apa 'appoinment' di SUK (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri) apabila kami sudah ke sana, semua pihak yang bertanggungjawab juga tidak ada," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Surau Paya Jaras Hilir hari ini.

Malang sekali katanya, pada 14 September penduduk mendapat maklumat bahawa akan berlaku pemotongan bekalan elektrik dan air pada 17 September (hari ini) serta perobohan rumah akan berlangsung pada 18 September (esok).

Jelasnya, perkara itu langsung tidak diberitahu kepada penduduk, malahan penduduk masih berpegang dengan janji kerajaan negeri bahawa tidak akan ada sebarang tindakan atau perobohan berlaku sehingga November 2019.

"Kami memegang kenyataan awal YB Sivarasa yang beranggapan tiada perobohan sehingga November, tetapi hari ini lain pula apabila perobohan akan dilakukan pada esok hari," katanya.

Sebanyak 92 rumah akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pelebaran Sungai Kedongdong bagi menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku.

Pada 4 September lalu, pihak kerajaan negeri menerusi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Sungai buloh, R Sivarasa telah memberi jaminan kepada penduduk yang turun berhimpun secara aman di luar pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa tidak akan berlaku sebarang tindakan atau perobohan rumah sehingga bulan November. – HARAKAHDAILY 17/9/2019

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah hari ini menasihati penduduk Sabah khususnya masyarakat luar bandar supaya menghentikan kebiasaan menjual tanah pada golongan kapitalis.

Setelah sekian lama masyarakat dipergunakan oleh segolongan kapitalis yang mempunyai kuasa ekonomi dengan membeli tanah-tanah masyarakat luar bandar yang akhirnya menyebabkan survival masyarakat luar bandar semakin terancam.

Saya sangat setuju dengan cadangan Tuan Guru Presiden PAS semasa berucap pada Himpunan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak kelmarin supaya masyarakat berhati-hati terhadap segolongan masyarakat yang terus menerus mengumpulkan harta dengan menawarkan tawaran yang lumayan kepada penduduk luar bandar.

Sudah cukup banyak harta masyarakat tempatan yang tergadai dan terjual dengan mainan golongan kapitalis ini. Masyarakat tempatan Sabah kena sedar bahawa tanah adalah aset yang sangat penting untuk sosioekonomi masa depan.

Masyarakat Sabah harus berhati-hati dengan pujuk rayu golongan ini. Sudah sekian lama harta orang tempatan terjual. Sampai masanya perkara ini dihentikan demi untuk kepentingan masyarakat tempatan masa depan.

SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah
17 September 2019 - HARAKAHDAILY 17/9/2019

SEJAK akhir-akhir ini, sama ada media cetak mahupun elektronik hangat mempertikaikan cadangan awal Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menjual rumah mewah yang tidak laku kepada warga asing. Cadangan ini juga dilihat sengaja membuka “ruang” kepada jutawan warga asing untuk mengaut keuntungan di negara kita.

Persoalan yang timbul, adakah akan wujud peningkatan jumlah hartanah yang dimiliki oleh warga asing di negara kita memandangkan kenyataan menteri sebelum ini memberitahu setakat ini hartanah milik warga asing tidak melebihi satu peratus?

Isu ini menjadi satu kebimbangan pelbagai pihak memandangkan secara langsung harga rumah akan melonjak naik dan tidak masuk akal sekali gus hilang kemampuan rakyat tempatan sendiri untuk memiliki rumah walhal kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah tidaklah memberangsangkan sejak sekian lama.

Berdasarkan laporan National Property Information Centre (NAPIC) berlaku peningkatan hartanah yang tidak terjual dalam semua kategori iaitu 54,078 unit yang bernilai RM37 milion pada tahun 2019 berbanding 51,265 unit yang bernilai RM35 milion pada tahun 2018.

Pihak KPKT seharusnya memikirkan langkah yang bernas dan proaktif untuk menyelesaikan isu lambakan rumah yang tidak mampu dibeli oleh warga tempatan bukannya mengeluarkan kenyataan yang “mengguris hati” rakyat yang masih tergapai-gapai untuk memiliki rumah.

Menteri juga tidak seharusnya lebih pro kepada pemaju tetapi perbincangan secara holistik perlu diadakan dengan semua pemaju di negara kita agar isu lambakan rumah yang tidak terjual dan harga rumah yang melambung tinggi dapat diselesaikan tanpa menyalahkan kerajaan terdahulu mahupun membuka ruang secara mudah kepada warga asing.

Bahkan juga, pemaju yang menarik pelabur Hong Kong untuk membeli hartanah di negara kita susulan krisis politik di pulau itu juga perlu dibendung sewajarnya bagi mengelakkan harga rumah terus meningkat sehingga tiada harapan rakyat tempatan untuk memiliki rumah kelak.

Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah terdapat jumlah yang besar unit rumah yang baru dilancarkan tidak terjual apabila laporan NAPIC menyatakan sebanyak 32,936 unit kediaman yang bernilai RM19 milion tidak terjual pada tahun 2019.

Saya juga ingin mempersoalkan jaminan sejauh mana dengan penjualan rumah mewah dapat memulihkan ekonomi negara? Saya khuatiri sekiranya terdapat agenda yang tersembunyi.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
17 September 2019 | 17 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 17/9/2019

ARAU: Tidak sepatutnya timbul sebarang isu berbangkit mengenai Piagam Muafakat Nasional yang mencetus sejarah besar negara Sabtu lepas.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, piagam yang dimeterai tidak ada satu pun yang bercanggah dengan Islam.

Malah katanya ia juga selari dengan perlembagaan negara.

“Keraguan tidak sepatutnya timbul kerana Piagam Muafakat Nasional menggariskan lima asas utama iaitu menjunjung dan mempertahankan keluhuran perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu menjamin pembentukan negara dengan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya pada program kucai bubur Asyura Perpaduan Ummah Dun Pauh di sini semalam. - HARAKAHDAILY 17/9/2019

MAJLIS Tandatangan Piagam Perpaduan Ummah  telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan hebat pelbagai kaum secara tidak langsung menepis tuduhan sesetengah pemimpin politik bahawa perpaduan ini sebagai langkah yang ekstremis berciri Taliban dan ditolak oleh kaum lain selain dari Melayu.

nik marhalimKehadiran begitu ramai penyokong Muafakat Nasional yang terdiri dari pelbagai kaum iaitu dari Parti Ikatan, Parti Cinta Malaysia, MIC, MCA, DHPP dan beberapa NGO bukan Melayu jelas menunjukkan perpaduan ummah bukan bersifat rasis malah rata rata rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menyambut baik dan memahami matlamat penyatuan Muafakat Nasional yang bertujuan untuk memelihara perlembagaan negara dan memastikan pengagihan kekayaan negara tanpa berlakunya penindasan antara kaum.

Muafakat Nasional dilihat dapat memulihkan keretakan perpaduan yang semakin hari semakin parah di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Difahamkan bahawa sekretariat majlis juga telah mempelawa kalangan parti politik yang memegang tampuk pemerintahan untuk sama sama menghadiri majlis tersebut.

Beberapa parti politik pemerintah yang terdiri dari PAN, Bersatu dan PKR diharap menyambut baik Muafakat Nasional yang seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas demi perpaduan rakyat Malaysia yang lebih menyeluruh.

Parti ikatan menyeru rakyat malaysia tidak termakan dengan dakyah dan hasutan yang cuba memecahbelahkan Muafakat Nasional yang jelas dapat memupuk keharmonian negara.

Rakyat Malaysia di seru menyambut salam Muafakat Nasional yang merentasi fahaman politik dan kepelbagaian kaum.

NIK MARHALIM MOHD BAKRI
Ketua Penerangan Parti Ikatan Bangsa Malaysia
17 September 2019 – HARAKAHDAILY 17/9/2019