Sidebar

Sambutan 50 Tahun PAS Negeri Sembilan meriah

Semasa
Typography

HIMPUNAN Hijau dan Sambutan 50 Tahun PAS Negeri Sembilan berlangsung di Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah pada Ahad 26 November dari 08.00 pagi hingga 12.00 malam.

Sekali baca nama program ianya adalah himpunan dan sambutan sebuah parti politik iaitu PAS.

Namun, atas usaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan serta kreativiti Muslimat PAS Negeri Sembilan dan Pemuda PAS Negeri Sembilan; himpunan dan sambutan ini turut menjadi hari keluarga ahli PAS seluruh Negeri Sembilan.{mprestriction ids="1,2,3,4,5"}

Apa tidaknya dari pagi hingga malam, bermacam-macam akvitivti berlangsung tanpa henti, kecuali waktu solat di tapak himpunan. Ibarat sebuah karnival keluarga, dari anak kecil, remaja, dewasa hinggalah ke warga emas, semuanya terlibat, mengambil bahagian dan bersama-sama meriahkan sambutan ini. Suasana ceria dan gembira jelas kelihatan sepanjang program ini berlangsung.

Pada sesi pagi Muslimat PAS Negeri Sembilan menganjurkan pelbagai pertandingan untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa. Untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dan tujuh hingga sembilan tahun telah diadakan pertandingan mewarna. Kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun pula menyertai pertandingan melukis.

Selain itu turut diadakan pertandingan Si Cilik Comel (Pakaian Beragam) untuk kanak-kanak pra-sekolah. Untuk golongan remaja pula telah diadakan pertandingan Cantum Oh Cantum (Jigsaw Puzzle) dan Pencarian Misteri. Golongan ibu pula menyertai pertandingan Rendang Terbaik N9, Ratu Dessert, Jambangan Bunga Buat Sidia dan Gelang Manikku Panjang yang merupakan acara individu.

Untuk acara berkumpulan muslimat pula dipertandingkan Sandwic Buat Anak Tersayang, Pencarian Misteri, Cantum Oh Cantum dan Karya Ukiran Kreatif.

Berlangsung juga pertandingan Pidato Muslimat Muda, Pameran Sejarah (Petugas Perhubungan, Kawasan dan Dewan-Dewan Negeri), Rawatan Kesihatan, pendaftaran ahli baru, pendaftaran pengundi baru, jualan gerai makanan, barangan dan pakaian. Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan, Fazilah Abu Samah menyempurnakan perasmian penutup acara muslimat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Menariknya sambutan ini apabila syarikat pengeluar Kopi Tongkat Ali terkenal di Malaysia iaitu CNI mengedarkan kopi percuma kepada semua hadirin. Selain itu CNI juga membuka sebuah kaunter pemeriksaan kesihatan.

Menurut wakil CNI, Mohamad Asri Hussin, dengan bayaran hanya RM15, pihaknya boleh mengenalpasti 36 masalah kesihatan. RM5 daripada itu akan disumbang kepada dana PAS. Mohamad Asri berkata, khidmat pemeriksaan kesihatan yang sama, jika di luar ianya dikenakan caj RM50.

Pada sesi petang pula Pemuda PAS Negeri Sembilan turut menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk sukaneka. Selepas Solat Zuhur berjemaah bersama penunggang motorsikal ARC di Surau Tok Subuh, Seri Menanti; Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha dan Ketua ARC Negeri Sembilan, Anuar Abdul Mulup menyampaikan tazkirah ringkas kepada penunggang motorsikal ARC yang hadir.

Rafie dan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahya diarak oleh penunggang motorsikal ARC dengan motorsikal 'Superbike' dari Surau Tok Subuh ke tapak himpunan program.
Berlangsung persembahan artis oleh Zuar XPDC, Brotherhood Buskers dan Fareez Undertaker yang menyampaikan lagu berunsur ketuhanan dan dakwah. Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Sembilan, Ustaz Khairil Anuar Mohd Wafa membuat kejutan apabila turut mengiringi persembahan Fareez Undertaker dan menyampaikan dua buah lagu ketuhanan dan dakwah secara duet.

Selepas itu berlangsung acara sukaneka seperti tarik tali, Bowling Buah Kelapa, Lari Helikopter, memanah, baling dart, Semakin Jauh Semakin Sayang (Pasangan suami isteri), motorsikal tercantik dan motorsikal paling bingit.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Daharun menyempurnakan perasmian penutup acara pemuda. Ustaz Mustafa dan Khairul Yazman turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Apa yang menggamatkan keadaan dan mungkin satu sejarah serta mungkin ini kali pertama dalam dunia, pertandingan tarik tali terpaksa dihentikan di pusingan separuh akhir apabila tali itu sendiri terputus dua ketika tarik menarik berlaku. Kejadian ini mengelikan hati peserta dan hadirin.

"Hari ini kita sajikan dengan pelbagai aktiviti. Saya bersyukur dengan sambutan anak muda pada himpunan ini kerana anak muda merupakan pemangkin masa depan. Hari ini kita dapat tunjuk kekuatan kita, kekuatan anak muda," kata Khairul Yazman.

Lewat petang berlangsung pelancaran Sidang Assabiqun (Kelab Veteran PAS) oleh Veteran PAS dan kolumnis Harakah, Subki Abdul Latif. Selepas berlangsungnya Solat Maghrib berjemaah, Munajat Perdana oleh Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan, Ustaz Abdul Hadi Mohd Isa, Solat Isyak berjemaah dan makan malam; acara kemuncak dimulakan.

Majlis dipengerusikan oleh Hassan Mohamed. Selain daripada ucapan kepimpinan PAS Negeri Sembilan, turut berlangsung majlis Anugerah Tokoh PAS Negeri Sembilan. Bekas Yang DiPertua PAS Jelebu, Kateran Marman dan Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan, Fazilah Abu Samah telah menerima anugerah tersebut dari Ustaz Mustafa.

Turut hadir Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan, Abdul Rahim Ujang yang juga merupakan Pengarah Himpunan Hijau dan Sambutan 50 Tahun PAS Negeri Sembilan.{/mprestriction}