Sidebar

Dunia Islam medan persaingan kuasa

Semasa
Typography

SELURUH dunia Islam terutama rantau Asia Barat dan Afrika Utara menjadi medan persaingan kuasa dan perang proksi yang sengit sejak krisis yang tercetus akibat kebangkitan rakyat yang digelar Arab spring.

Kuasa-kuasa utama terdiri daripada Arab Saudi, Iran, Israel yang disokong Amerika Syarikat dan juga negara-negara lain dari dalam dan luar rantau ini menyokong kumpulan masing-masing, menyumbang kepada keadaan yang lebih parah.

Selain persangain utama melibatkan Arab Saudi dengan Iran, yang mewakili dan mengetuai dua kelompok Sunni dan Syiah, pelbagai pihak lain turut mempunyai kepentingan lain yang tidak hanya tertakluk kepada garis pemisah mazhab, tetapi juga kepentingan geopolitik dan ekonomi.{mprestriction ids="1,2,3,4,5"}

Negara-negara dilanda gelombang kebangkitan rakyat sejak Disember 2010 hampir semuanya terus menjadi medan persaingan kuasa-kuasa terbabit, sehingga beberapa negara seperti Syria, Yaman, dan Libya kini hancur dan dilanda krisis kemanusiaan yang teruk.

Lima negara di bawah ialah lokasi utama persaingan kuasa-kuasa asing di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

1. Iraq
Militia Syiah yang disokong Iran kini muncul sebagai antara kuasa utama di Iraq, dan terbaharu berperanan dalam mematahkan kemaraan Kurdi yang mahu memerdekakan wilayah Kurdistan Iraq. Termasuk Wilayah Autonomi Kurdistan, Israel turut terlibat dengan mendalam di negara ini. Kumpulan-kumpulan Sunni pula turut menerima bantuan dari Arab Saudi, bertujuan melawan pengaruh Iran.

2. Yaman
Yaman dikemukakan sebagai medan perang proksi Saudi dengan Iran, Sunni dengan Syiah, tetapi naratif dominan ini tercabar oleh realiti yang lebih kompleks, yang bukan sahaja melibatkan pembahagian politik yang tidak melibatkan mazhab tetapi juga pembahagian antara Yaman  yang bersatu dengan kumpulan berkuasa di selatan didukung Emiriyah arab Bersatu yang masih berusaha memisahkan wilayah selatan.

3. Libya
Libya antara yang jelas menyaksikan perang proksi antara Qatar dengan Emiriyah Arab Bersatu, dan melibatkan juga beberapa negara lain termasuk Mesir dan Rusia. Jeneral Khalifa Haftar yang disokong Emiriyah kini tokoh paling dominan di Libya, yang telahpun terpecah kepada beberapa bahagian dikuasai kumpulan-kumpulan lain. Abu Dhabi kekal sebagai kuasa asing paling berjaya menguasai Libya kini.

4. Syria
Selain Qatar yang sebelum ini kuasa asing dominan yang menyokong pemberontak di Syria, Turki, Arab Saudi, dan Iran turut berperanan di Syria, menyokong proksi masing-masing. Pada masa ini, pertembungan utama melibatkan kuasa mewakili Syiah disokong Iran, dengan Kurdi yang telah menguasai kawasan sendiri dan bercita-cita mewujudkan sebuah Kurdistan raya meliputi Turki, Syria, dan Iraq.

5. Lubnan
Lubnan mencatat satu peristiwa mengejutkan apabila perdana menterinya dipanggil ke Arab Saudi dan dipaksa meletakkan jawatan, sebagai satu usaha untuk mencetuskan suasana tegang dan membolehkan tindakan terhadap Hizbullah dan Iran dilaksanakan. Sebagai barisan depan paling kuat berdepan secara ketenteraan dengan Israel, Hizbullah menjadi sasaran utama untuk dihapuskan oleh Israel dan sekutu, tindakan yang telah dirancang sejak lebih sedekad lalu ekoran perang musim panas 2006 antara Hizbullah dengan tentera Zionis. {/mprestriction}