Sidebar

Rakyat jelata berziarah ke Makam DiRaja Langgar

e-HARAKAH
ALOR SETAR: Kehadiran rakyat jelata berziarah ke makam Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah menjelaskan betapa kasihnya mereka kepada baginda. 
 
Dapat disaksikan sempena cuti hujung minggu ini ramai rakyat jelata yang hadir dari seluruh pelusuk negara dan antarabangsa menziarahi ke Makam DiRaja Langgar, di sini.
 
Situasi tersebut menggambarkan rasa kehilangan mereka terhadap pemergian raja yang sangat disenangi dan dihormati kerana sering mencemar duli menyantuni rakyat.
 
Malah, jasa terhadap negara pasti diingati rakyat jelata atas sejarah baginda yang dua kali menaiki takhta sebagai Yang DiPertuan Agong dan sultan paling lama menerajui pemerintahan.
 
Di makam yang tenang itu, kelihatan adinda Almarhum, Tunku Bendahara Abdul Hamid Thani ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berada di situ mengucapkan terima kasih kepada sekalian pengunjung.
 
Almarhum mangkat pada 11 September lalu dan dimakamkan pada keesokan harinya yang didahului dengan istiadat pemasyhuran adindanya, Tuanku Sultan Solahuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah Ke-29.
 
Ribuan rakyat jelata dan pemimpin serta kerabat memberikan penghormatan terakhir di Istana Anak Bukit dan Kerajaan Negeri Kedah mengisytiharkan penggabungan selama tujuh hari. - eHARAKAH 17/9/2017