Sidebar

Siap sedia melaksana amanah kepimpinan

e-HARAKAH

(Teks transkrip penuh dari ucapan Presiden PAS dalam merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pasir Puteh di Sweet Beach Resort, Tok Bali pada 31 Mac 2018 yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu di medan perjuangan menghadapi ujian dalam diri kamu sendiri, dan bersabarlah kamu dalam menghadapi musuh-musuh dan lawan-lawan kamu. Dan ribat, bertugas di mana sahaja kamu diletakkan walaupun di sempadan. Dan bertakwa kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan.”

(ali-‘Imran: 200)

Marilah kita menghayati ayat yang dibaca oleh Dato’ Setiausaha Agung, ayat yang akhir dalam Surah ali-‘Imran, Surah yang disebut di dalamnya peristiwa Badar dan peristiwa Uhud. Badar orang Islam mendapat kemenangan dengan jumlah yang sedikit menghadapi musuh yang lebih besar. Uhud orang Islam mulanya menang, kemudian mereka dipukul dengan teruk dan dahsyat mengorbankan para syuhada.

Walaupun Allah Maha Berkuasa memberi kemenangan, Allah mengajar umat Islam dengan peristiwa itu. Yang penting supaya kita beriman dengan akidah perjuangan kita.

PAS telah meletakkan Islam adalah akidah perjuangan. Islam ad-Din, bukan Islam agama sahaja. Bukan Islam perkataan religion yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia. Islam yang disebut dengan ad-Din di dalam al-Quranul Karim, merangkumi semua perkara dalam kehidupan manusia, dalam hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia, hubungan makhluk-makhluk yang ada di atas muka bumi ini. Termasuk di dalamnya kerja politik, kerja yang banyak menimbulkan kata-kata yang meragukan. Sabda Nabi S.A.W: 

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء، كلما هلك نبي خلفه نبي، ولا نبي بعدي، ولكن خلفاء وهم كثيرون

“Adalah Nabi-nabi Bani Israil yang melakukan siyasah, melakukan politik mereka ialah Nabi-nabi A.S. Setiap kali Nabi wafat, diganti dengan Nabi yang lain. Tidak ada lagi Nabi selepas aku Muhammad S.A.W. Akan ada pemimpin-pemimpin, mereka ramai.”

Lalu Sahabat bertanya:

كيف تأمرني

“Bagaimana Rasulullah perintahkan saya?”

Jawabnya:

فوا ببيعة الأول فالأول، فإن الله سائلهم عما استرعاهم

“Kamu hendaklah tunaikan baiah (disebut baiah), tunaikan baiah kepada yang pertama yang berikut. Allah akan mempertanggungjawabkan kepada mereka pada hari kiamat apa yang mereka lakukan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa kerja politik adalah kerja agama. Kerja Nabi-nabi dan Rasul-rasul A.S. Kerja yang diasaskan oleh Allah S.W.T sejak dijadikan manusia yang pertama Nabi Adam A.S:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Dan ingatlah apabila tuhan berkata kepada para malaikat, aku nak jadikan di atas muka bumi itu khalifah.”

(al-Baqarah: 30)

Apa makna khalifah? Khalifah dihuraikan oleh ulama dalam kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab Siyasah Syar’iah: 

اقامة الدين وسياسة الدنيا به

“Menegakkan ad-Din, (menegakkan Islam), dan politik mentadbir dunia dengannya (dengan Islam itu).”

Di atas dasar inilah maka Sahabat R.A memberi perhatian yang besar terhadap kewajipan politik apabila diasaskan oleh Nabi S.A.W dengan melakukan hijrah di al-Madinatul Munawwarah.

Mengapa hijrah di Madinah? Hijrah bukan untuk melarikan diri. Hijrah bukan untuk menyelamatkan diri, untuk mencari kerja. Hijrah ialah kerana mengambil tempat untuk mendirikan kerajaan Islam.

Setelah dinafikan oleh penduduk-penduduk Makkah, setelah kabilah-kabilah Arab yang lain takut untuk menerima kewajipan ini. Apabila orang-orang Madinah menerima kewajipan ini dengan baiah, dengan baiah, bukan dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja.

Maka Nabi berhijrah ke Madinah mendirikan kerajaan Islam. Madinah nama baru kepada Yathrib ataupun Thaybah. Madinah adalah untuk mendirikan negara bermasyarakat Madani, bermasyarakat Madani.

Dinamakan Madinah daripada Madani ataupun ad-Din. Ad-Din yang sempurna dan Madani untuk memimpin masyarakat manusia. Bukan sahaja orang Islam, termasuk orang bukan Islam. Bukan sahaja orang Arab, termasuk bukan Arab. Kerana manusia:

مدني بالطبع

“Hidup secara Madani”

Tak boleh bersendirian, mesti berhubung di antara satu sama lain. Memerlukan bandar, dinamakan Madinah untuk mengumpulkan manusia. Bukan sahaja untuk menegakkan Islam, tetapi mengurus kehidupan mereka, mengurus perniagaan mereka, mengurus pertanian mereka, mengurus masalah-masalah yang ada dalam mereka dengan ajaran Islam.

member login