JDT vs Kedah: Siasat dakwaan rasuah

Sukan & Budaya
Typography

JABATAN Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Malaysia memandang serius berhubung dakwaan rasuah jurulatih dan pemain Kedah di dalam perlawanan Final Piala Malaysia 2017 baru-baru ini.

Pengarah Dacs Malaysia Muhammad Fadzli Abu Bakar berkata isu rasuah yang pernah berlaku sekitar tahun 1994 sudah cukup meninggalkan kenangan pahit yang melibatkan ramai pemain dan pegawai sehingga sukan bola sepak berkubur begitu sahaja pada tahun itu.

"Ia menjadi permulaan kepada zaman gelap bola sepak negara. Minat terhadap sesuatu sukan datangnya daripada naluri setiap insan tanpa dipaksa oleh sesiapa. Satu siasatan terperinci harus dilakukan oleh pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Jelasnya, kesan daripada rasuah, Malaysia telah kehilangan ramai pemain-pemain yang berbakat dan seterusnya menyebabkan pasukan Malaysia semakin merosot prestasi mereka di peringkat antarabangsa.

"Kewujudan kegiatan rasuah kerana ketamakan, kelemahan pengurusan dalaman, penyalahgunaan kuasa, kewujudan peluang iaitu “bookie” merupakan dalang yang mencari kesempatan untuk memberi, menerima, menawar dan menuntut sesuatu terutamanya berdasarkan kuasa dan kedudukan masing-masing dan mereka tidak mengambil kira liga bolasepak itu popular atau tidak, asalkan ada peluang mereka akan meneruskan kegiatan," katanya.

Dacs Malaysia turut mengemukakan beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi mencegah rasuah di dalam bola sepak antaranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah proaktif memantau gejala tidak bermoral ini dengan telus dan adil mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 ( Akta 576 ) dan pendidikan supaya anak-anak dapat dididik di peringkat awal akan buruknya tabiat rasuah.

Terdahulu, penyokong pasukan bola sepak Kedah, Zulkifli Hashim telah membuat laporan polis di Balai Polis Yan, Kedah pada 9 November baru-baru ini mengenai dakwaan pemain dan jurulatih menerima rasuah sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia antara Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu.

Beliau tampil membuat laporan polis ekoran mengetahui dakwaan itu melalui rakannya mengenai mesej berbaur fitnah disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga tular.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa jurulatih dan tujuh pemain Kedah menerima sogokan RM200,000 setiap seorang sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Kedah bertemu JDT.– HARAKAHDAILY 13/11/2017