Mini Gathering ARC Sabah

Sukan & Budaya
Typography

BERSEMPENA dengan program Jelajah Hijau Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diadakan di negeri Sabah, Alternative Riding Club (ARC) Negeri Sabah telah menganjurkan Mini Gathering bersama beberapa buah kelab motosikal yang lain.

Program yang diadakan di Pantai Tanjung Aru itu disertai oleh 80 orang peserta daripada , iaitu daripada kelab Renegade Rider The League, Y15 KK Crew, LC Community Crew serta wakil daripada ARC Putatan, ARC Sepanggar, ARC Keningau dan ARC Kota Belud.

Pelbagai aktiviti santai dan menarik telah disusun oleh penganjur, seperti cabutan bertuah, BBQ, sukaneka sepak raga bulatan, permainan dadu gergasi dan pertandingan lumba motosikal perlahan termasuk solat Asar secara berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Zulzaim, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dalam ucapan ringkasnya semasa merasmikan program berkenaan, menekankan beberapa perkara utama kepada semua peserta.

Beliau berkata, "PAS berdiri di atas tiga sendi utama, iaitu dakwah, tarbiyah dan politik. Adapun program kita pada hari ini adalah salah satu program dakwah yang merupakan antara medium pemuda PAS mendidik anak-anak muda khususnya mat-mat moto untuk memahami ajaran Islam yang syumul, mendekatkan diri kepada Allah dan menjalinkan ukhuwah Islamiyah sesama antara peserta.

ARC yang merupakan kelab permotoran yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS, dalam program yang dianjurkan, kita wajibkan dalam aktiviti mesti ada solat berjamaah dan 5 minit pengisian ilmu seperti tazkirah ringkas berkenaan fardhu ain dan pengetahuan asas tentang ibadah, contohnya berkenaan tatacara mengambil wudhu' dengan betul serta cara melaksanakan solat jamak dan qasar".

Program yang bermula pada jam 2.00 petang itu berakhir pada jam 5.30 petang, disudahi dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara sukaneka. – HARAKAHDAILY 13/11/2017

MiniG 2

MiniG 3

MiniG 4

MiniG 5

MiniG 6

MiniG 7