AFC 23: Tahniah Harimau Muda Malaya!

Sukan & Budaya
Typography

PASUKAN bola sepak negara bawah 23 tahun berjaya melakar sejarah apabila layak ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) 2018 malam tadi dengan menewaskan pasukan ranking lebih baik iaitu Arab Saudi. Gol pasukan negara telah dijaringkan oleh Daniel Amier pada minit ke-28 separuh masa pertama.

Pasukan negara bawah 23 tahun ini merupakan negara Asean yang pertama layak dalam kejohanan kali ini.

Walaupun pasukan Arab Saudi yang rankingnya lebih baik dan dibarisi oleh 10 orang pemain yang membantu pasukan senior negaranya layak ke World Cup 2018, pasukan bawah 23 tahun negara tetap mampu mempamerkan mutu bola sepak yang lebih baik dan seterusnya layak ke suku akhir.

Malaysia sebenarnya berada di dalam kumpulan maut dengan dibarisi oleh pasukan daripada Iraq juara 2014, Arab Saudi naib juara 2014 dan Jordan tempat ketiga 2014. Berkat daripada usaha tanpa jemu dan semangat yang tinggi, pasukan negara berjaya menewaskan gergasi Asia dan seterusnya menempatkan diri ke kelompok 8 pasukan terbaik kejohanan. Berkemungkinan besar lawan Malaysia di suku akhir esok ialah pasukan Korea Selatan. Satu lagi pasukan daripada Asean akan mengiringi Malaysia iaitu pasukan Vietnam jika mereka berjaya mengalahkan Syria esok.

Ayuh seluruh rakyat Malaysia, kita berikan sokongan padu kepada pasukan pelapis negara untuk mara lebih jauh lagi dalam kejohanan ini dan seterusnya dapat memberi sinar serta harapan baru kepada bola sepak negara. Malaysia boleh! – HARAKAHDAILY 17/1/2018